Hairuddin Omar dilantik Penolong Jurulatih TFC

Iklan
Pasukan Terengganu Football Club (TFC) musim depan diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar (kanan).- Foto Facebook TFC

BARISAN kejurulatihan pasukan Terengganu Football Club (TFC) musim depan diperkuatkan lagi dengan kehadiran bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar.

Hairuddin yang lebih popular dengan panggilan 'Hai-O' dilantik sebagai penolong jurulatih bagi membantu tugas pengendali utama, Nafuzi Zain yang sah menyambung kontraknya bersama skuad Penyu musim depan.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, pengalaman Hai-O sebagai bekas penyerang berkaliber di rantau ASEAN ketika mewakili skuad kebangsaan mampu memantapkan lagi pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Kemasukan Hairuddin dalam barisan kejurulatihan TFC diyakini mampu membentuk pasukan lebih mantap dan memberi cabaran sengit kepada pasukan lain.

Iklan

"Selain berpengalaman luas sebagai pemain, beliau juga berpengalaman dalam mengurus pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) bersama jurulatih senior, Bojan Hodak," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Hai-O yang juga bekas kapten skuad kebangsaan dan kini bergelar usahawan makanan, pernah menyarung jersi Terengganu selain menjadi penggempur beberapa pasukan lain termasuk Kelantan, Pahang, T-Team dan Negeri Sembilan.

Iklan

Tambah Ab Rasid di samping Hai-O, skuad Penyu turut mengekalkan khidmat penolong jurulatih musim lalu, Tengku Hazman Raja Hassan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim.

Katanya gandingan mantap ketiga-tiga jurulatih yang kesemuanya pernah menyarung jersi Terengganu itu mampu mengembalikan kegemilangan dan melengkapkan misi memburu kejuaraan yang tidak kesampaian musim ini.

"Saya percaya dengan keserasian mereka dan kami harap dapat memburu kedudukan lebih baik dalam Liga Super, Piala Malaysia dan mengintai peluang beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Piala AFC musim depan," katanya. - Bernama