KUALA LUMPUR - Banjir yang diramal akan dibawa hujan lebat Monsun Timur Laut ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung masih belum berlaku lagi, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Justeru katanya, semua agensi perlu bersiap-bersedia untuk kemungkinan berhadapan insiden banjir yang lebih buruk.
Ekoran itu katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah membuat persediaan awal untuk mengerakkan operasi bagi mendepani sebarang kemungkinan yang bakal berlaku
"Kami lebih bersedia, maknanya benda ini kita sudah tahu apa hendak jadi, semuanya sudah diletakkan dalam keadaan siap siaga.
"Tetapi ingin saya ingatkan banjir ini tidak seteruk yang akan sampai. Monsun (Timur Laut) belum sampai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor," katanya.
Menurut Affendi, empat negeri itu adalah kawasan tradisi banjir Monsun Timur Laut.
"Benda (Monsun Timur Laut) ini belum terjadi lagi. Semua anggota kita sudah bersedia di negeri berkenaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan," ujarnya.
Ekoran itu beliau meminta semua pihak untuk berhenti menuding jari dan bersedia untuk menhadapi bencana ini.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, berdasarkan situasi semasa, pasukan penguat kuasa itu memberi tumpuan kepada Pahang yang pada ketika ini menunjukkan peningkatan lokasi dan mangsa banjir yang terlibat.
"Di Pahang buat masa kini dengan jumlah mangsa seramai 38,399 orang.
"Sembilan kawasan yang melibatkan atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera. Setiap atur gerak melibatkan 16 pegawai dan 206 anggota," katanya.
Affendi berkata, bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa kini, keadaan masih terkawal.
Walau bagaimanapun, katanya, ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan satu kompeni iaitu lima pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan.
"Saya tegaskan di sini, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekunder yang merupakan antara peranan yang kita laksanakan selain dari memikul tugas utama menjaga kedaulatan tanah air," katanya lagi. - Awani