SHAH ALAM - Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta pihak pengurusan PTPTN untuk melakukan dua perkara bagi membantu peminjam yang terlibat dalam bencana banjir.
Menurutnya, perkara pertama adalah, sekiranya ada peminjam yang meminta untuk menyusun semula jadual pembayaran balik kerana ditimpa masalah, proses tersebut hendaklah dipermudahkan.
"Penyusunan pembayaran balik dalam kes-kes tertentu adalah dalam bidang kuasa PTPTN, maka sebolehnya para pegawai harus mempermudahkannya.
"Yang kedua, pengurusan atasan PTPTN perlu serta-merta membuat perbincangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan mengenai kemungkinan untuk memberikan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat banjir.
"Keutamaan peminjam yang terkesan adalah untuk membina semua kehidupan mereka, jadi kita perlu bantu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, perkara tersebut memerlukan sokongan pihak atasan dan bukannya sebagai sebuah agensi pelaksana sahaja serta berharap rayuan terbabit mendapat perhatian sewajarnya.
Tambah beliau, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dana Kita yang sudi bekerjasama untuk meneruskan misi bantuan banjir,
"Saya bertemu salah seorang mangsa banjir yang merupakan peminjam PTPTN, rumahnya mengalami kerosakkan yang teruk dan hampir semua perabot, perkakasan rumah rosak ditenggelami air.
"Mangsa tersebut turut mencadangkan supaya peminjam PTPTN yang ditimpa musibah banjir diberikan moratorium dan saya amat memahami permohonannya.
"Saya juga pernah ditimpa musibah pada 2012, keseluruhan rumah saya terbakar dan hanya tinggal baju diampaian sahaja yang selamat, belanja untuk membina kehidupan selepas itu memang membebankan,” ujarnya.