Tiada istilah selesai tugas selagi banjir belum pulih sepenuhnya

Iklan
Anggota bomba Pekan membantu menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Temai, Pekan pada Khamis.

PEKAN - Khidmat pasukan bomba terus diperlukan dalam situasi banjir ketika ini bukan hanya dalam operasi menyelamat mangsa malah tenaga mereka juga diperlukan untuk menghantar bantuan dan khidmat sosial lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dan Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, tugas mereka tidak pernah selesai selagi banjir belum pulih sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka tetap bersemangat dan sedia berkhidmat pada bila-bila masa.

"Kami sentiasa bersedia untuk membantu memindahkan mangsa banjir sekiranya ada lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Iklan

"Ketika ini kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Wan Samsul Effendi berkata, pada masa sama, anggota dari BBP Pekan dan Peramu digerakkan untuk membantu agensi lain dalam misi menghantar bantuan ke PPS di daerah ini terutama di lokasi terputus hubungan.

Iklan

"Bermula Rabu, khidmat bomba Pekan diperlukan untuk membawa petugas kesihatan ke PPS Pulau Manis yang terputus hubungan.

"Bantuan juga dihulurkan untuk membawa petugas kesihatan ke PPS Kampung Temai ekoran pusat pemindahan itu turut dinaiki air.

"Khidmat itu akan diteruskan hingga laluan ke dua PPS itu boleh dilalui," katanya.

Wan Samsul Effendi berkata, pihaknya juga dalam keadaan sedia menghadapi jangkaan banjir berulang terutama di kawasan penempatan di pinggir Sungai Pahang di daerah itu berikutan air hulu yang mula turun.

Menurutnya, anggota bersama bot tetap bersedia di beberapa lokasi berisiko termasuk di Kampung Temai.

"Berdasarkan situasi ketika ini, situasi air di beberapa kawasan terutama kampung-kampung sepanjang Jalan Pekan-Paloh Hinai (Jalan Batu Balik) berlaku kenaikan air namun perlahan," katanya.

Menurutnya, ketika ini beberapa kampung masih ditenggelami air dan penduduk terlibat berada di PPS.