Ismail Sabri terharu pengorbanan anggota keselamatan

Iklan
Anggota keselamatan yang bertugas melaksanakan operasi bantuan banjir.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa terharu beliau dengan pengorbanan pasukan keselamatan yang bertugas melaksanakan operasi bantuan banjir.

Menurut beliau, meskipun terdapat sebahagian anggota turut kehilangan rumah, harta benda serta tidak mengetahui perkembangan keluarga, mereka sanggup bertarung nyawa menyelamatkan mangsa.

Iklan
Iklan

"Saya amat terharu dengan pengorbanan pasukan keselamatan kita sepanjang bertugas melaksanakan operasi bantuan banjir.

"Ketika mereka bertarung nyawa menyelamatkan mangsa, ada sebahagian anggota keselamatan turut kehilangan rumah dan harta-benda, malah tidak tahu ke mana ahli keluarga mereka dipindahkan akibat bencana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Ismail Sabri. - Foto Bernama

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, anggota keselamatan tersebut sanggup berkorban dan mengenepikan kepentingan diri demi keselamatan negara dan Keluarga Malaysia.

"Terima kasih frontliners, terima kasih semua,” ujarnya.

Iklan

Pada Selasa, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kumpulan sokongan telah digerakkan sebagai usaha menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri terjejas menerusi Ops Murni.

Menurutnya, operasi itu dijalankan anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) tertumpu kepada negeri yang dilanda banjir di seluruh negara.

Pada masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada Sabtu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga untuk menggerakkan 23,090 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi memberi bantuan berikutan bencana banjir.

Menurutnya, jumlah pegawai dan anggota yang akan dikerahkan itu adalah sebagai bantuan tambahan kepada kekuatan sedia ada di kontinjen negeri.

Anggota keselamatan yang bertugas melaksanakan operasi bantuan banjir.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad dilaporkan berkata, seramai 4,819 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk Pasukan Bomba Bantuan telah diatur gerak bagi membantu kerja menyelamat serta memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri yang terjejas banjir, susulan hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat.

Jelasnya, JBPM juga telah menggerakkkan 125 kenderaan angkut dan 214 bot ke kawasan banjir di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.