995 kapal persiaran dijangka singgah di SPCT tahun depan

Iklan
995 buah kapal persiaran dijangka akan membuat persinggahan di SPCT pada tahun hadapan.

GEORGETOWN - Sebanyak 995 buah kapal persiaran dijangka membuat persinggahan di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) dengan membabitkan pengendalian 660,318 penumpang di sini pada tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah kapal tersebut adalah sebahagian daripada 58 persinggahan kapal pelayaran antara tempoh pada hari pertama pelayaran iaitu pada Rabu sehingga Mac tahun depan dengan penglibatan seramai 47,000 penumpang.

Iklan
Iklan

"Pada waktu ini, Genting Cruise Lines menjadi operator kapal persiaran pertama yang memulakan pelayaran domestik dan ada sebuah lagi operator dijangka menawarkan perkhidmatan mereka pada pertengahan Januari.

"Dengan pembukaan semula pelayaran kapal persiaran oleh kapal Star Pisces ini, ia akan memberi punca pendapatan kepada peniaga kecil, pengayuh beca dan lain-lain yang terlibat dalam industri pelancongan," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan semula aktiviti kapal persiaran di SPCT di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan kebenaran pembukaan kapal persiaran bagi pelayaran antarabangsa.

Iklan

"Usaha ini melibatkan kerjasama dengan pihak-pihak terlibat termasuk operator kapal persiaran, namun buat masa ini pembukaan kapal persiaran antarabangsa ini tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19 dengan turut mengambil kira kebimbangan banyak negara terhadap ancaman varian baharu Omicron.

"Selain itu, kementerian bersama SPPP juga membuat perancangan untuk mewujudkan Pelan Penyelarasan Kruis tahun hadapan dengan sasaran utama untuk mewujudkan 'home-porting' di Pelabuhan Pulau Pinang," ujarnya.

SPCT mencatatkan jumlah penumpang kapal persiaran melebihi sejuta orang setiap tahun dari 2013 sehingga 2019 sebelum menghentikan operasi untuk mengendali penumpang kruis sejak April tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Presiden Jualan Genting Cruise Lines, Cynthia Lee berkata, pakej pelayaran dua malam dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi pada 26 dan 28 Disember ini hampir habis dijual berdasarkan had kapasiti yang dibenarkan.

Katanya, dengan pelayaran pertama pada Khamis sejak tergendala akibat pandemik Covid-19 pada penghujung 2019, ia menandakan permulaan pemulihan industri kapal pelayaran serta pelancongan domestik dan serantau.

"Kami optimis bahawa momentum permintaan untuk Star Pisces akan terus kukuh pada tahun 2022. Genting Cruise Lines berharap dapat terus berkerjasama serta mendapat sokongan kerajaan dan pihak berkuasa di Malaysia serta serantau, untuk berusaha ke arah mewujudkan ‘Harmonize Cruise Standard’.

"Ia bagi membuka pelayaran antarabangsa secara terkawal dan selamat merentasi negara-negara yang terbabit seperti mewujudkan Lorong Perjalanan Bervaksinasi (VTL) untuk penumpang pelayaran," katanya.

Jelasnya lagi, dengan inisiatif ini, Genting Cruise Lines berharap dapat terus membangunkan industri kapal pelayaran dan pelancongan di Malaysia dengan membawa penumpang-penumpang dari luar negeri menggunakan kapal yang kini berlabuh di rantau ini.