BACHOK - Seorang penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bercita-cita menjadi seorang komando kerana semangat ibu dan abangnya yang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Khairul Sobri Abdul Rahman, 23, berjaya membuktikan cita-citanya apabila dia menyertai Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) UMK sehingga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Suksis UMK 2021 oleh PDRM.
Khairul berkata, dia berhasrat mahu mengikut jejak langkah ibunya, Azizah Hassan, 58, dan abangnya, Khairul Hazwan Abdul Rahman,27, yang bertugas sebagai anggota polis.
"Sejak di bangku sekolah saya tinggal di asrama dan terlatih dengan disiplin serta biasa berdikari.
"Setiap hari rutin saya bangun awal sebelum Subuh, mandi dan menunaikan solat sebelum berjoging bagi menjaga fizikal,” katanya ketika ditemui Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis UMK Tahun 2021, di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, di sini pada Selasa.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah,Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Azhan Abdul Halim; Komandan Kor Suksis UMK merangkap Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) UMK, Asisten Komisioner Polis Profesor Teknologis Dr Arham Abdullah dan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.
Katanya, pada masa sama, Khairul Sobri yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Pengedaran) tahun keempat di UMK itu dapat mengekalkan prestasi cemerlang.
"Saya teringin menjadi anggota komando VAT69 dan akan merebut peluang menyertai pasukan PDRM sebaik tamat pengajian.
"Saya sekarang aktif sebagai Inspektor Kor Suksis dan tamat menjalani latihan yang bermula pada September 2018 sehingga Ogos lalu,” katanya.
Khairul Sobri merupakan antara 66 pelajar UMK yang tamat latihan Kor Suksis membabitkan 27 siswa dan 39 siswi yang ditauliahkan selepas berjaya menamatkan modul pengajian dalam tempoh tiga tahun.
Sepanjang tempoh itu, pelatih didedahkan dengan silibus latihan kepolisan merangkumi modul latihan kawad, senjata, kursus etika dan integriti, kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA), asas pertolongan cemas dan menyelamat, khidmat masyarakat, seni mempertahan diri serta latihan jasmani.
Turut disampaikan pada majlis itu, Pelatih Terbaik Akademik, Inspektor Kor Suksis Nur Raihan Adni Mohd Nasser dan Pelatih Terbaik Latihan Luar, Inspektor Kor Suksis Faqihfaridudin Azhar.