PEMAIN badminton negara perlu sentiasa bercita-cita tinggi, bersemangat selain berazam untuk mencatatkan keputusan terbaik pada setiap kejohanan yang disertai pada masa depan.
Menurut bekas Pengarah Berprestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, kesemua elemen berkenaan perlu dimiliki oleh pemain badminton negara bagi memastikan mereka mampu menangani cabaran yang dihadapi pada masa depan.
"Bagi saya, kesemua pemain, tidak kira pemain junior atau pemain senior perlu memiliki sikap seperti ini, mereka perlu meletakkan sasaran yang tinggi (aim high) kerana ia akan membantu menjadikan mereka lebih bersemangat.
"Malangnya, perkara ini tidak dilakukan oleh pemain badminton kita. Sebagai contoh dalam satu sidang media, pemain kita, Lee Zii Jia berkata sasarannya adalah untuk berada dalam kelompok lapan pemain terbaik pada Kejuaraan Dunia baru-baru ini.
"Sasaran itu sebenarnya tidak sesuai untuknya yang telah pun berjaya meraih gelaran Seluruh England Mac lalu dan seharusnya Zii Jia, menyasarkan lebih daripada itu, mungkin menjadi juara untuk Kejuaraan Dunia, kenapa perlu letakkan sasaran yang rendah?” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Untuk rekod, Zii Jia terkandas di pusingan suku akhir Kejuaraan Dunia di Huelva, Sepanyol 17 Disember lalu apabila menarik diri akibat kecederaan ketika berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen.
Sementara itu James berkata, skuad badminton negara sebenarnya perlu mendapatkan khidmat ahli psikologi dan terapi dalam usaha memulihkan semula semangat para pemain.
Katanya, setelah menjalani latihan, menyertai kejohanan pemain-pemain negara sewajarnya diberikan khidmat sedemikian bagi memastikan mereka mampu kembali bangkit untuk mengharungi kejohanan seterusnya.
"Saya rasa kesemua pemain badminton kita perlu mendapat khidmat ini bagi memastikan mereka kembali bersemangat dengan fikiran yang tenang untuk mengharungi mana-mana kejohanan.
"Diharapkan perkara ini diberikan perhatian serius kerana ia selaras dengan kenyataan Presiden BAM baru-baru ini yang mengatakan kegagalan skuad badminton negara Huelva adalah ibarat satu ‘wake up call’ kepada semua, termasuk pemain dan jurulatih,” katanya.