Lebih banyak tenaga kerja diperlukan pasca banjir

Iklan
Para penduduk melonggokkan sampah sarap dan perkakasan rumah yang rosak akibat banjir di satu kawasan lapang sebelum diuruskan pelupusannya oleh pihak berwajib. -Foto Bernama
SHAH ALAM - Terdapat kawasan banjir di beberapa buah negeri telah didapati menunjukkan perkembangan positif apabila air mula surut antaranya di Taman Sri Muda, Padang Jawa, Hulu Langat, Batu Tiga, Selangor.

Disebabkan itu, lebih ramai tenaga kerja diperlukan bagi memastikan proses untuk mengemas kediaman dan kawasan sekeliling dapat dibuat dengan pantas dan secara tidak langsung dapat meringankan beban mangsa.

Ini kerana, terdapat banyak salut (lumpur), sampah dan juga barangan yang tidak boleh digunakan lagi perlu di dalam kediaman yang perlu dikemas dan dibersihkan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan Selangor turut memerlukan bantuan sukarelawan dan lori bagi mempercepat dan melancarkan operasi pembersihan dan membawa keluar sampah pukal di kawasan yang terjejas dengan banjir.

Jelasnya, bantuan sukarelawan diperlukan untuk mengutip sampah-sampah daripada rumah penduduk yang tidak boleh dimasuki lori sampah KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB).

Dalam masa sama, terdapat juga beberapa kawasan yang paras airnya masih lagi tinggi dan tidak boleh memulakan aktiviti mengemas antaranya Temerloh, Bera, Pekan dan Bentong, Pahang.

Justeru itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai terutama di kawasan banjir untuk segera mendapatkan rawatan di kemudahan KKM secepat mungkin sekiranya ada gejala atau rasa tidak sihat kerana dikhuatiri mempunyai penyakit bawaan air.

Menurut Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, KKM bersiap siaga untuk menerima dan menangani kes melibatkan penyakit bawaan air di semua fasiliti termasuk pusat operasi sementara susulan situasi banjir di beberapa negeri.

Jelasnya, antara penyakit bawaan air termasuk yang berjangkit antaranya taun, demam kepialu dan kencing tikus.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku luruan monsun dan juga angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan bermula 26 Disember ini.

MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata, luruan monsun iaitu angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan diramal berlaku pada 27 hingga 30 Disember.

Tambahnya, angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuk kawasan perairan pantai timur Semenanjung pada 26 hingga 30 Disember.