SHAH ALAM - Tidak timbul diskriminasi dalam kalangan anak-anak orang kurang upaya (OKU) seperti austisme kerana mereka mempunyai banyak potensi yang harus dibangunkan.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Roslailawati Mohamad berkata, anak-anak tersebut perlu diberi stimulasi kepada program-program tertentu yang sedia ada di Malaysia.
"Sebagai contoh, di Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, kita mempunyai satu program yang membuka ruang dan potensi kepada anak-anak autisme dan anak-anak istimewa.
"Jadi, kalau anak-anak autisme di tempat kami yang datang dalam keadaan yang tidak boleh bercakap dengan lancar, tetapi dengan latihan spiritual dan ritual, insya-ALLAH mereka akan menjadi insan yang sempurna.
"Saya yakin anak-anak ini mampu ditingkatkan potensi masing-masing hingga menjadi anak-anak yang sempurna, sama seperti anak-anak lain,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-313 bertajuk ‘Nasib OKU Di Malaysia, Tuah Atau Malang?’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Program yang dimoderatorkan Khairil Amri itu turut menampilkan Pengarah Projek Kempen Pembangunan Pusat Tahfiz Anak Istimewa dan Autisme 1.0, Putri Nurul Izzah Azman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pengerusi Volunteer for Community Engagement and Empowerment for Covid19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar serta Pemilik RMT Kumanbuster Global dan RMT Entertaiment, Rahmat Md Zainal.
Mengulas lanjut, Roslailawati berkata, terdapat dua konsep pendidikan yang digunakan di pusat jagaannya iaitu ritual dan spiritual.
"Ritual ini maknanya fizikal. Sebagai contoh, bagaimana kita nak membantu untuk merangsang atau bangunkan otak anak-anak autisme ini ke arah yang sempurna.
"Bagi konsep spiritual pula, kita menggunakan al-Quran kerana kita tahu al-Quran merupakan mukjizat bagi orang-orang Islam.
"Kalau kita guna al-Quran ini sebagai perubatan untuk anak-anak kita, secara tidak langsung mereka dapat sembuh seperti anak-anak yang normal di luar sana,” ujarnya.
Justeru, beliau yakin anak-anak istimewa itu boleh dididik sehingga mereka menjadi seorang yang sempurna dan berkemahiran pada masa akan datang.