SHAH ALAM - Ahli Parlimen pembangkang menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan khusus untuk membahaskan isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan demi ahli Keluarga Malaysia yang terkesan.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dan segera meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai, dan pembangunan bandar yang mampan.
"Kejadian hujan tidak berhenti selama beberapa hari diikuti kejadian tanah runtuh dan banjir besar seharusnya mengingatkan kita bahawa perubahan iklim benar dan mampu mendatangkan kesan di luar jangkaan kepada pelbagai pihak termasuk pakar malah juga pemerintah.
"Melihat lumpur yang dimuntahkan bukit dan sungai membuktikan bukit-bukit kita semakin terhakis dan sungai-sungai kita semakin cetek. Kesemuanya kesan aktiviti manusia yang jika tidak dikawal akan membawa padah dan malapetaka.
"Kesan perubahan cuaca dunia dan kemunculan pelbagai wabak virus tanpa sempadan yang silih berganti, kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara maju kini lebih serius melaksanakan prinsip Environmental Social Governance (ESG) sebagai dasar utama pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, gesaan untuk mengadakan sidang Parlimen perlu diadakan memandangkan ramai rakyat Malaysia khususnya di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang yang sangat terkesan akibat banjir, kehilangan harta benda, malah juga orang tersayang.
"Pada masa yang sama, melalui media sosial kita melihat bagaimana rakyat telah bangkit untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan. Malah kita juga mendengar bagaimana warganegara asing juga pertaruh nyawa untuk membantu mangsa yang terperangkap akibat air bah yang sangat tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengerah sukarelawan parti dari seluruh negara turun membantu dalam bentuk wang ringgit, tenaga menyelamat mangsa dan tugasan membersihkan rumah serta kawasan kediaman yang terkesan banjir.
"Pada masa yang sama, kita membaca dan meneliti bagaimana tindakan segera kerajaan negeri tersekat akibat koordinasi lemah di peringkat pusat, walaupun aset dan Angkatan Tentera Malaysia telah bersedia. Ini semua menjadi pengajaran buat kita,” katanya.