PASIR PUTEH - Dua buah bot Vietnam yang merompak 1,000 kilogram (kg) ikan di perairan negara ini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Rabu.
Bot yang dinaiki oleh 23 kru termasuk tekong itu ditahan di dua lokasi berasingan menerusi rondaan rutin Op Kuda Laut yang dilakukan oleh Maritim Malaysia Kelantan pada jarak 46.3 dan 48.8 batu nautika dari Muara Tok Bali.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, semasa rondaan dijalankan pihaknya telah mengesan bot pertama yang dikemudikan dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.25 petang.
"Sejurus melihat kelibat bot itu, anggota Maritim Malaysia Kelantan terus mengejar bot tersebut dan menahannya lima minit kemudian untuk tujuan pemeriksaan.
"Hasilnya, kita telah tahan 18 orang kru termasuk tekong," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bot kedua yang membawa lima kru termasuk tekong dikesan pada jam 2 petang dan berjaya ditahan 15 minit kemudian.
Beliau berkata, kesemua 23 kru warga Vietnam yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Khairun Dalilah berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot-bot tersebut pihaknya menjumpai 1,700 liter bahan api diesel yang dijadikan sebagai bekalan untuk memudahkan pergerakan mereka menangkap ikan.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM3 juta.
"Maritim Malaysia Kelantan mengambil masa lebih 20 jam untuk membawa bot tersebut ke jeti selepas salah sebuah bot Vietnam itu mengalami kerosakan," katanya.
Khairun Dalilah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 Seksyen 16 (3) akta yang sama.
Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.