KOTA BHARU - Kerajaan negeri mahu seluruh rakyat peka dengan amaran banjir atau bencana bagi memastikan persediaan awal dapat dilakukan berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui semasa bah besar pada tahun 2014 lalu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan pada masa sama berdoa semoga ramalan tersebut tidak berlaku sebagaimana jangkaan.
"Jika keluar amaran dan sebagainya, kita mesti peka dan ambil tanggungjawab kerana ia melibatkan semua pihak. Apa pun, kita berdoa supaya ia tidak berlaku sebagaimana yang dijangkakan.
"Apa yang penting kita perlu ambil tahu perkembangan apa-apa amaran yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berwajib.
"Rakyat seharusnya bersedia dan kita bukan sahaja mengharapkan pertolongan daripada pasukan tertentu, sebaliknya kita perlu bersedia sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pelepasan Misi Pemulihan Bantuan Banjir Kelantan Ke Pahang di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Ahmad mengulas mengenai kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang mengingatkan semua agensi perlu bekerjasama menghadapi kemungkinan banjir lebih teruk ekoran Monsun Timur Laut yang masih belum melanda di negeri-negeri khususnya Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, apa yang berlaku di Kuala Krai pada 2014 lalu menjadikan masyarakat lebih bersedia mental dan fizikal, termasuk menyediakan persiapan awal jika terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri juga menyampaikan sumbangan RM100,000 masing-masing untuk Pahang dan Selangor bagi misi bantuan banjir kali ini.
Selain itu, RM100,000 juga diperuntukkan untuk misi bantuan berkenaan melibatkan lebih 1,500 sukarelawan yang terdiri daripada agensi kerajaan, wakil-wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) serta parlimen.
"Kita tahu bahawa apa yang berlaku di Pahang adalah luar biasa daripada sebelum ini. Jadi, kita teringat apa yang berlaku pada kita tahun 2014. Hari ini kita lihat negeri Selangor dan Pahang menerima nasib yang sama, kita amat bersimpati.
"Oleh itu kita hantar sukarelawan pada Jumaat, Insya-ALLAH dapat meringankan beban mereka terutama dalam memulihkan semula tempat tinggal dan kawasan mereka dengan bantuan yang sepatutnya kita sampaikan,” katanya.