KUALA LUMPUR - Hasil Mesyuarat Majlis Halal Malaysia kali Ke-4 yang berlangsung semalam di Bangunan Utama Parlimen, bersetuju Dasar Halal Negara perlu dibangunkan sebagai rujukan kepada pemegang taruh di pelbagai agensi.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, dasar itu juga akan menjadi panduan dalam menggariskan pelan pembangunan industri halal yang strategik.
"Sebanyak lima kertas telah dibentangkan dalam mesyuarat kali ini, iaitu satu kertas laporan dan empat kertas cadangan yang telah dibincangkan bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi industri halal negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat Bil.1/2019 itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Timbalannya, Fuziah Salleh, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Ahli mesyuarat juga terdiri daripada Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri serta agensi-agensi berkaitan halal.
Dalam pada itu, Nordin yang berperanan sebagai Setiausaha Majlis Halal Malaysia berkata, hasil mesyuarat itu juga, turut bersetuju agar undang-undang dan peraturan berkaitan rumah sembelihan unggas di negara ini diperkasakan.
"Melalui syarat pemilikan sijil halal dan tauliah sembelih sebelum kelulusan permohonan lesen rumah sembelih diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Cadangan ini bagi memastikan isu seperti sembelihan yang tidak patuh syariah oleh rumah sembelihan tidak terus berlaku,” katanya.
Menurut Nordin, Majlis Halal Malaysia yang bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun itu, bertujuan menggembleng peranan agensi-agensi sedia ada di peringkat persekutuan dan negeri secara optimum mengikut bidang kuasa dan fungsi masing-masing mengenai pembangunan halal.
"Platform ini juga bertujuan menyelaras inisiatif-inisiatif dan program-program yang menyumbang ke arah peningkatan ekonomi dan sosial negara serta agenda memperkenal dan memperkukuh bidang halal di peringkat antarabangsa,” katanya.