RM760,000 dadah dirampas dalam dua serbuan

Iklan
Zaki (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam dua kes berkenaan.

KOTA BHARU – Polis Kelantan berjaya merampas RM760,000 dadah jenis syabu dan pil yaba bersama barangan yang disita kira-kira RM179,258 dalam dua serbuan berlainan pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan di lakukan di Bachok dan Pasir Mas melibatkan tangkapan terhadap tiga individu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang penganggur berusia 30 tahun di tepi Jalan Besar Pekan, Pasir Mas pada jam 5 petang Rabu lalu.

"Pemeriksaan awal menemui satu bungkusan plastik yang mengandungi pil berwarna merah dan hijau dipercayai dadah di dalam beg silang yang digunakan suspek.

Iklan

"Hasil soal siasat suspek membawa pihak polis ke sebuah rumah di Taman Rantau Baru, Gual Nering, Rantau Panjang yang turut dihuni isterinya berusia 23 tahun dan seorang bayi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Jumaat.

Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan lanjut menemui satu kotak yang disorokkan di siling bilik air di bahagian dapur rumah berkenaan dan mengandungi plastik biru yang berisi pil merah dan hijau disyaki dadah.

Iklan

"Turut dirampas dua bungkusan plastik hijau yang mengandungi 10 bungkusan plastik berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah," katanya.

Tambah beliau, serbuan berkenaan berjaya merampas 16,000 pil Yaba dan 10 kilogram syabu bernilai RM520,000 dan hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis menyita wang tunai berjumlah RM61,758, dua buah kereta, dua buah motosikal, seutas rantai leher berloket empat segi, dua utas rantai tangan, dua bentuk cincin dan sebentuk loket berbentuk hati dengan nilai keseluruhan RM119,258.

Jelas beliau, polis percaya suspek menerima bekalan berkenaan dari sempada untuk pasaran tempatan.

"Suspek kini direman tujuh hari bermula Jumaat dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori,” katanya.

Sementara itu, pada hari yang sama, serbuan turut dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Gunung, Bachok dan menahan seorang pelajar institusi pengajian tinggi bersama 24,000 biji pil yaba bernilai RM240,000.

Katanya, dalam serbuan jam 6.45 petang itu, pelajar berusia 23 tahun itu diberkas di belakang rumah berkenaan dan polis menemui satu botol putih dipercayai untuk kegunaan menyimpan susu bina badan.

"Botol berkenaan digunakan sebagai tempat menyimpan 12 bungkusan plastik cerah yang mengandungi pil berwarna merah dan hijau yang disyaki dadah.

"Walaupun tidak mempunyai rekod lampau namun kita percaya pelajar berkenaan sudah terlibat dengan kumpulan tertentu yang aktif sejak lebih setahun yang lalu. Suspek kini direman tiga hari bermula Jumaat,”katanya.

Zaki berkata, ujian urin yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang ditahan untuk dua kes berkenaan masing-masing menunjukkan negatif dadah namun siasatan lanjut tetap dijalankan bagi menjejak mereka yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.