SHAH ALAM - Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters membuka klinik dan kaunter bergerak bagi memeriksa kesihatan dan memudahkan urusan mangsa banjir mencetak dokumen yang diperlukan.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Health dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.
"Kita tengok kemusnahan yang berlaku amat menyedihkan dan hari ini (Jumaat) kita berada di Kampung Lombong dengan menawarkan perkhidmatan perubatan secara percuma serta menyediakan ubat-ubatan seperti ubat demam, muntah dan cirit-birit.
"Kita juga ada menawarkan perkhidmatan pencetakan dan semakan dokumen. Ini adalah inisiatif Sinar Harian dan Rasuah Busters untuk bantu penduduk di sini.
"Kita akan usahakan program ini bukan sahaja di Kampung Lombong, tetapi di tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui di pekarangan Surau Nurul Iman, Kampung Lombong, Seksyen 29 di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan pula berkata, hampir 300 penduduk datang ke kaunter bergerak untuk mendapatkan perkhidmatan pencetakan.
"Ini berikutan kerana mereka mengalami masalah untuk mencetak dokumen bantuan selain mempunyai masalah capaian internet dan elektrik.
"Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Seorang doktor perubatan sukarelawan, Dr Ardi Irawan Tanjung berkata, kebanyakan mangsa banjir mengalami masalah cirit-birit dan muntah.
"Jadi, kita sediakan ubat-ubatan tersebut. Kemudian ubat demam, sakit kulit dan sakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.
"Ada pesakit datang dengan tekanan darah yang teruk. Mereka tidak dapat makan ubat kerana dihanyutkan banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Nazir Masjid Al-Falah Jalan Kebun, Mahmud Mastam pula berkata, program yang dijalankan oleh pihak Sinar Harian dan Rasuah Busters cukup baik kerana melibatkan keseluruhan anggota masyarakat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
"Insya-ALLAH semoga program-program sebaik ini akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.
Katanya, kini mangsa banjir mula pulang ke rumah masing-masing dan mereka amat memerlukan sokongan moral selain kelengkapan barangan rumah untuk memulakan kehidupan yang baharu.