SHAH ALAM - Banjir di beberapa kawasan di negeri ini semakin pulih dan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga dibenarkan pulang selepas keadaan kembali selamat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa kawasan menunjukkan air semakin surut.
Menurutnya, di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ23 juga beransur pulih.
"Insya-ALLAH air telah semakin surut dan penduduk boleh pulang ke kediaman mereka," katanya dalam satu kenyataan di Twitter beliau pada Jumaat.
Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor akan terus menyalurkan keperluan asas kepada penduduk sementara menunggu keadaan pulih.
Menerusi status berlainan di Twitter beliau sebelum ini, Amirudin turut membayangkan banjir di Bukit Changgang, Banting dijangka surut sepenuhnya pada Sabtu.
Katanya, beberapa langkah tambahan yang lebih tersusun dilakukan bagi menangani air bertakung antaranya dengan mengepam air bertakung.
"Menjelang esok (Sabtu) dijangka Bukit Changgang akan surut sepenuhnya," katanya.