"Tolong... tolong, emak tersepit" - Mangsa

Iklan
Norazwani sebak apabila menceritakan mengenai kejadian menimpa keluarganya. - Foto Astro Awani

KUALA LUMPUR - Jeritan ibu meminta tolong akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di sini, masih segar dalam ingatannya.

Kata Norazwani Mohd Jamin, dalam kejadian tersebut, ibunya, Norbayah Harun, 69, tertimbus dalam tanah sehingga paras pinggang.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, dia yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan itu tidak berdaya melakukan apa-apa kerana tubuhnya sendiri turut tertimbus hampir separuh badan.

Lebih menyulitkan, kata Norazwani, dia terpaksa menahan serpihan dinding daripada menghempap tubuhnya.

Iklan

"Saya sedar saya dapat rasa saya kena tolak (runtuhan). Saya ingat lagi macam mana bunyi pasir itu tolak saya, saya ingat lagi macam mana bunyi emak saya menjerit minta tolong.

"(Mak) menjerit-jerit cakap.... ‘Wani tolong... tolong, emak tersepit. Ya, emak Wani pun tersepit. Selepas itu kebetulan telefon (ada) di tangan saya sebab saya baru lepas bercakap dengan suami.

Iklan

"Dengan tangan menggigil-gigil saya cuba telefon. Lepas itu line (talian) tidak berapa okay mungkin sebab runtuhan,” katanya berkongsi pengalaman buruk itu ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala di sini, pada Jumaat.

Bercerita detik cemas yang dilaluinya itu, Norazwani berkata, apa yang dimampu dilakukan ketika itu hanyalah melaungkan kalimah"Allahuakbar”.

Kesyukuran dipanjatkan Norazwani apabila selepas melalui 15 minit yang mendebarkan itu, dia berjaya dikeluarkan daripada timbunan tersebut dengan bantuan penduduk setempat sementara ibunya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Saya jerit tiga kali Allahuakbar sekuat hati, lepas itu tiga kali lagi saya cakap, tolong, tolong, tolong... itu yang jiran-jiran dengar dan datang tolong saya,” tambahnya lagi.

Sambil berkongsi kisah sedih itu, Norazwani juga tidak mampu menahan sebak selain air matanya tumpah mengenangkan rumah yang didiami mereka sejak 36 tahun lalu musnah sekelip mata.

Katanya, insiden tanah runtuh itu merupakan kejadian pertama sejak dia menetap di lokasi tersebut.

Selain kehilangan harta benda, apa yang lebih memilukan bagi Norazwani ialah dia tidak tahu akan nasib tiga ekor kucing peliharaannya.

"Banyak kenangan di rumah itu. Saya sedih sebab tak dapat selamatkan kucing saya... seekor sahaja dapat selamat, lagi tiga ekor saya tidak tahu di mana,” ujarnya yang tidak mampu menahan tangisan.

Ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.20 pagi itu, Norazwani hanya tinggal berdua bersama ibunya. Mengimbau sebelum runtuhan berlaku, Norazwani berkata suasana pada malam itu begitu sunyi, dan tidak seperti hari kebiasaan yang lazimnya bising dengan bunyi cengkerik.

Bahkan dia masih lagi teringat bagaimana lampu di rumahnya secara tiba-tiba meletup dan mengeluarkan asap.

Ketika ini, ibu Norazwani sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Walaupun sukar melupakan kejadian tersebut, Norazwani berharap mampu membina semula kediaman untuk mereka sekeluarga berteduh.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, sekurang-kurangnya 284 mangsa terjejas akibat tanah runtuh.

Seramai 136 mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, sementara baki mangsa berada di luar PPS.

Kejadian tersebut membabitkan 94 buah rumah, yang mana daripada jumlah tersebut, 24 kediaman musnah, manakala 70 buah lagi dikategorikan sebagai berisiko. - Awani