Agrobank bantu mangsa banjir

Iklan
Khadijah

SHAH ALAM - Agrobank membantu menghulur bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir menerusi Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di daerah ini pada Jumaat.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, selaras dengan slogan ‘Sentiasa di Sisi Anda’, Agrobank amat cakna dan prihatin akan kesukaran serta situasi semasa yang sedang dihadapi oleh komuniti setempat ekoran bencana banjir yang berlaku pada minggu yang lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya menghulur sumbangan berupa tuala muka, kit penjagaan kendiri Covid-19, air mineral dan lain-lain.

"Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan.

Iklan

"Agrobank sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang diberikan mandat untuk mendukung pertumbuhan sektor pertanian di negara ini, kami pastinya terus komited untuk mendukung komuniti agro di Malaysia bagi memastikan kelestarian di sektor pertanian dan komoditi," katanya kepada Sinar Harian.

Khadijah berkata, selain sumbangan 'one-off' yang diberikan melalui Sinar Harian di Shah Alam pada Jumaat, Agrobank beberapa hari lalu turut mengumumkan pelan bantuan banjir bagi pelanggannya yang terkesan menerusi program Bantuan Banjir Agrobank 2021.

Iklan

Katanya, bantuan itu merangkumi moratorium pembiayaan, penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan (R&R) untuk pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir, pengecualian caj bagi penggantian kad juruwang automatik (ATM) dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir serta kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) di bawah Bank Negara Malaysia.

"Insya-ALLAH, saya yakin dan percaya di sebalik sesuatu yang berlaku, pastinya ada hikmah yang lebih besar menanti agar kita saling memainkan peranan masing-masing untuk saling membantu mereka yang dalam kesulitan dan memerlukan.

"Saya dan seluruh warga kerja Agrobank akan terus berdoa semoga mereka semua tabah dan bersabar dalam menghadapi dugaan ini serta bangkit semula dengan semangat yang baharu untuk membina kehidupan mereka seperti sebelumnya," katanya.