Empat pasukan rebut tiket final TGPLPA 2021

Iklan
Persembahan garang Samuel Lee memastikan Butterworth BC mara ke separuh akhir.

KEJOHANAN Badminton Top Glove Purple League Pro-Am 2021 (TGPLPA 2021) semakin hangat apabila empat pasukan – Serdang BC, Ampang Jaya BC, Butterworth BC dan Bandar Maharani BC akan membuat perhitungan di peringkat separuh akhir esok.

Butterworth BC dan Ampang Jaya BC menepati ramalan untuk layak ke peringkat kalah mati sebagai pasukan pilihan dan dilihat sebagai kuasa besar dalam kelompok empat pasukan terbaik apabila gah menjuarai kumpulan masing-masing.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menyaksikan pilihan utama - Butterworth BC menerima tamparan apabila tewas 10-12 di tangan Seremban City BC.

Namun, Butterworth BC bernasib baik dengan kelebihan mata yang dikumpul, sekali gus membolehkan mereka menafikan kemaraan Seremban BC ke separuh akhir.

Iklan

Keputusan itu menjadikan Butterworth BC muncul naib juara Kumpulan A dan akan membuat perhitungan dengan juara Kumpulan B, Ampang Jaya BC yang merupakan pilihan kedua kejohanan bagi merebut tiket ke pentas akhir.

Gandingan beregu campuran Butterworth BC, Tan Yi Han-Goh Jin Wei bermula dengan langkah kiri apabila tewas 2-3 (5-11, 11-7, 11-6, 10-11, 10-11) di tangan Tan Kok Xian-Gan Jing Err.

Iklan

Namun, persembahan garang Samuel Lee memastikan Butterworth BC mengikat kedudukan 5-5 selepas berjaya mengheret lawannya, Faiz Rozain ke set penentuan, sekali gus menang 3-2 (11-7, 7-11, 11-7, 5-11, 11-10).

Menyedari peluang semakin tipis, Seremban City BC kembali mendahului menerusi kemenangan 3-1 (8-11, 11-2, 11-3, 11-5) oleh perseorangan wanita, N.Saranya ke atas Lim Jing Ning disusuli beregu lelaki, Mohd Faris Zai’m- Muhd Amar yang menewaskan gandingan Chee Yik Shen-Tee Zi Yi dengan keputusan 3-1 (11-8, 6-11, 11-8, 11-9)

Percaturan Butterworth BC menggandingkan Goh Jin Wei bersama Teoh Lexuan bagi beregu wanita membuahkan hasil apabila mereka berjaya meraih kemenangan 3-1 (6-11, 11-4, 11-9, 11-10) ke atas Desiree Siow-Ng Wan Win, sekali gus merapatkan jurang 10-12 di belakang Seremban City BC dan membolehkan mereka bergelar naib juara Kumpulan A.

Sementara itu, Samuel yang baru pulang daripada Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2021 berpuas hati dengan persembahannya petang tadi.

"Saya gembira dapat menyumbang mata buat pasukan. Saya sedar pertandingan ini sangat kompetitif dan saya perlu berwaspada dengan lawan yang akan saya hadapi esok,” katanya.

Dalam aksi Kumpulan B pula, Ampang Jaya BC berjaya menafikan kemaraan Rawang BC dengan kemenangan 12-6.

Mereka akan diiringi oleh Bandar Maharani BC yang muncul selaku naib juara kumpulan setelah melengkapkan empat perlawanan pada Khamis.

Kejohanan Top Glove Purple League Pro-Am 2021 yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 kepada juara dan akan melabuhkan tirainya pada 26 Disember nanti.