TAN Cheng Hoe perlu diberi peluang sekali lagi untuk membuktikan kemampuannya membimbing skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.
Malah, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menganggap pertukaran pengendali baharu dalam masa terdekat pada ketika Harimau Malaya bakal menghadapi tugasan penting tahun depan bukan satu tindakan bijak.
Beliau menegaskan, kehadiran pengendali baharu tidak akan mampu menyelesaikan masalah penurunan prestasi yang dihadapi Harimau Malaya dalam ‘sekelip mata’.
"Saya rasa dengan beberapa bulan lagi sebelum aksi kelayakan itu berlangsung ini, eloklah kita bagi peluang kepada coach Tan sebab pasukan negara bukan ada masa yang banyak untuk melakukan persiapan.
"Jika kita ganti dengan jurulatih baharu, saya tak rasa ia satu jalan penyelesaian yang baik sebab jurulatih itu mesti nak kena biasakan diri dengan suasana dalam pasukan negara.
"Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang adalah semak semula apa kesalahan yang dilakukan pada Piala AFF lalu. Perbaiki apa yang patut agar masalah sama tak berulang pada Kelayakan Piala Asia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Untuk rekod, sejak dilantik secara rasmi membimbing Harimau Malaya pada Disember 2017, Cheng Hoe telah menghadapi 40 perlawanan dengan catatan 20 kemenangan, 16 kalah dan 4 kali seri.
Kejayaan terbaik yang pernah dilakar Cheng Hoe adalah ketika muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 yang mana skuad bimbingannya tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.
Mengulas lanjut, Irfan berkata, tiada alasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memecat Cheng Hoe jika gagal membawa Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Pada masa sama, Irfan mencadangkan FAM melantik ‘orang luar’ bagi memberi satu nafas baharu kepada Harimau Malaya jika kontrak Cheng Hoe yang tamat penghujung tahun 2022 tidak disambung.
"Sekiranya coach Tan masih gagal membawa sebarang perubahan atau pasukan negara gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, jadi beliau perlu mengundur diri.
"Jika FAM mahu mencari pengganti beliau, mungkin sudah sampai masanya individu dari luar negara kembali dilantik. tetapi ini bukan bermakna saya mahu menidakkan kualiti jurulatih tempatan.
"Sebenarnya kita kena realistik dan lihat apa yang dicapai negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam yang berjaya dengan didikan jurulatih luar,” jelas pengendali Kuching City FC itu.