Faktor manusia burukkan keadaan

Iklan
Sampah sarap yang terhasil setelah banjir mulai surut ketika tinjauan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada Jumaat. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Faktor manusia turut menjadikan kejadian banjir kilat menjadi lebih buruk apabila peranan sistem saliran telah dikurangkan dan tidak lagi efisien apabila dipenuhi sampah, sisa industri dan bahan binaan.

Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila berlaku perubahan dalam pola penurunan hujan, sebagaimana situasi yang berlaku di Lembah Klang ketika ini.

Iklan
Iklan

Pakar alam sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman turut melahirkan kekecewaan dengan sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata dan tidak mengamalkan etika persekitaran yang betul.

"Apabila berlaku hujan lebat sebagaimana yang berlaku beberapa hari lepas, ditambah pula dengan kekurangan kawasan berhutan dan pokok serta pembangunan pesat menyebabkan air hujan tidak dapat menyerap ke dalam tanah.

Iklan

"Bila aliran air itu tak dapat diperlahankan, ia akan bergerak laju memasuki sistem parit dan longkang. Satu masalah lain pula apabila longkang tersumbat dengan sampah.

"Sistem saliran iaitu longkang dan parit yang tersumbat dengan sisa-sisa buangan menyebabkannya menjadi cetek. Ia menyebabkan 'larian' air yang masuk ke longkang tidak boleh mengalir dengan cepat ke sungai dan menyebabkan banjir kilat berlaku,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan perlu melihat kepada pengawasan dan pembersihan sistem saliran di negara ini.

Selain itu, masyarakat perlu dididik tentang pentingnya mengamalkan etika persekitaran melalui kempen di media massa dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar.

"Perlu bersihkan dan baiki sistem perparitan yang ada dan dalamkan mana yang cetek. Itu antara langkah- langkah awal supaya air boleh mengalir dengan lancar.

"Memang, kadangkala banjir berlaku kerana pengaruh air pasang. Tapi, dengan adanya persediaan, ia akan minimumkan kesan banjir,” ujarnya.