'Cemas anak kecil terperangkap banjir'

Iklan
Kawasan kediaman di Taman Tulip 1, Seksyen 29, Shah Alam yang mula dibersihkan selepas dilanda musibah banjir pada Sabtu lalu.

SHAH ALAM - Seorang ibu bergenang air mata ketika menceritakan detik tiga anaknya termasuk bayi berusia tujuh bulan yang ditinggalkan di rumah bersama suami ketika banjir besar yang melanda di Taman Tulip 1, Seksyen 29, di sini Sabtu lalu.

Zairatul Akma Zainal, 29, yang bertugas di Hospital Shah Alam berkata, dia bertugas pada jam 2 petang hingga 11 malam bertolak ke tempat kerja pada jam 1 petang.

Iklan
Iklan

Zairatul Akma bagaimanapun tidak menyangka keadaan berubah kritikal air hanya di paras laluan jalan hadapan rumahnya ketika bertolak ke tempat kerja.

Zairatul Akma menceritakan detik rumahnya di Taman Tulip 1, Seksyen 29, Shah Alam yang dilanda banjir pada Sabtu lalu.

"Setelah saya sampai di tempat kerja, suami memberitahu air masuk ke dalam rumah hingga di paras buku lali kira-kira jam 4 petang.

Iklan

"Terkejut dan memang buntu apa yang saya boleh lakukan masa itu. Saya kemudian memohon pelepasan daripada ketua untuk pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, saya terpaksa berpatah semula ke tempat kerja kerana laluan ke Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) tidak boleh dilalui akibat banjir kira-kira jam 5.30 petang," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di sini pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, lebih membimbangkan apabila dia terputus hubungan telefon dengan suaminya dan tidak tahu situasi ketika itu.

Katanya, memang ketika itu memikirkan dan hanya bertawakal bagaimana suaminya menyelamatkan empat anak termasuk bayi perempuannya.

"Kediaman kami ditenggelami air hingga 0.5 meter dan semua banyak barangan rumah rosak.

"Alhamdulillah suami dan anak selamat dan berjaya dibawa keluar. Amat sedih apabila kejadian yang berlaku itu saya tiada bersama mereka. Ia memang menjejaskan emosi saya ketika itu," katanya dalam nada sebak.

Turut ditemui, ibu tunggal dikenali Norin Ashikin, 38, bersama dua anaknya berusia empat dan 10 tahun.

Norin menceritakan detik rumahnya di Taman Tulip 1, Seksyen 29, Shah Alam yang dilanda banjir pada Sabtu lalu.

Menceritakan peristiwa berkenaan, Norin hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi sebelum menyedari air mula naik selepas waktu Asar.

Ujar penghuni Taman Tulip 1 itu, penduduk mula panik dan mengangkat barang ke tempat yang tinggi.

"Saya sempat selamatkan dokumen anak, komputer peribadi dan beberapa helai pakaian untuk dibawa keluar dan air naik mendadak sehingga 0.5 meter. Kami semua bersyukur kerana dapat selamatkan diri," katanya.