Kemas kini program latihan sudah cukup

Iklan
Mohd Sadek

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak perlu melakukan penstrukturan barisan jurulatih dan pemain berikutan prestasi hambar skuad badminton negara dalam enam kejuaraan terakhir pada tahun ini.

Sebaliknya menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, badan induk badminton negara itu perlu memberi perhatian khusus terhadap pengubahsuaian dan penambahbaikan terhadap program-program latihan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya tiada keperluan pun untuk BAM melakukan penstrukturan semula dalam kalangan barisan jurulatih dan pemain berdasarkan komitmen tinggi khasnya yang diberikan para pemain.

"Berapa kali hendak buat penstrukturan semula setiap kali prestasi hambar daripada pemain negara? Cuma perkara yang perlu diberikan perhatian serius BAM khasnya Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann adalah pengubahsuaian semula terhadap program-program latihan pemain-pemain senior.

Iklan

"Kajian semula perlu fokus terhadap kejuaraan back to back yang sememangnya begitu ketara membuktikan ketidakupayaan mental dan fizikal para pemain negara sebaik berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Khamis berkata, badan induk itu akan melakukan penstrukturan semula barisan jurulatih dan pemain susulan prestasi tidak menentu skuad badminton negara di sembilan kejuaraan terakhir bermula pada saingan Piala Sudirman di Vantaa, September lalu.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: BAM struktur semula jurulatih, pemain

Jelas Mohd Sadek lagi, pengubahsuaian program latihan merupakan elemen yang penting pada ketika dunia sedang beralih arah menyesuaikan diri dengan norma baharu berikutan impak Covid-19.

"Kita tahu kem badminton negara akan berdepan jadual padat sebelum temasya Tokyo 2020 lagi, cumanya kita tidak tahu on off sesuatu kejuaraan tersebut selepas Tokyo.

"Saya lihat di sini ia merupakan kegagalan bahagian kejurulatihan dalam merancang dan mengenalpasti kejuaraan yang perlu menjadi keutamaan untuk para pemain negara mencipta lebih impak.

"Ya, sebagai atlet profesional back to back bukan satu alasan untuk seseorang pemain itu tidak perform dalam pertandingan berintensiti tinggi, tapi harus juga diingat bahawa ini merupakan kali pertama pemain badminton negara mengharungi back to back yang padat,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Sadek menyarankan BAM untuk lebih kerap melakukan pemantauan terhadap keberkesanan pengisian program latihan selepas setiap kejuaraan yang sertai pemain negara.

"Sebenarnya pada era norma baharu ini aspek seperti kekuatan mental dan fizikal merupakan sesuatu yang perlu ditambah nilai.

"Namun pada masa sama, aspek pemakanan juga merupakan sesuatu perlu diberikan perhatian apatah lagi dalam mengharungi aksi back to back yang memerlukan keupayaan luar biasa pemain,” katanya.