Pemuda Amanah tutup tabung beli 'water jet'

Iklan
Pemuda Amanah Nasional menerusi Facebook telah memuat naik hantaran kutipan sumbangan pembelian water jet untuk kerja pembersihan di rumah mangsa banjir.

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menutup tabung khas pembelian penyembur air atau 'water jet' selepas berjaya mengumpul kutipan lebih RM35,000.

Ketuanya, Mohd Hasbie Muda berkata, tabung khas itu ditutup pada jam 12 tengah hari Sabtu seperti yang diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Pemuda Amanah Nasional pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan yang diterima selepas tarikh tersebut akan disalurkan untuk kegunaan bantuan banjir yang lain.

Beliau menjelaskan, keseluruhan kutipan dalam tabung khas water jet akan digunakan sepenuhnya bagi pembelian peralatan tersebut.

Iklan

"Sebanyak RM7,092 telah dibelanjakan untuk pembelian sembilan unit water jet pada Khamis lalu.

"Baki RM28,418 akan segera dibelanjakan melibatkan pembelian water jet yang dianggarkan sebanyak 30 hingga 35 unit lagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mohd Hasbie berkata, JKP Amanah Nasional menetapkan penyata penerimaan dan perbelanjaan serta dokumen berkaitan termasuk resit pembelian perlu dipaparkan kepada umum bagi tujuan ketelusan dan integriti.

"Bendahari perlu memantau inventori semua water jet tersebut agar peralatan tersebut tidak hilang atau tidak dapat dijejaki bagi kegunaan pada masa akan datang," katanya.

Pada Khamis, Pemuda Amanah Nasional menerusi Facebook telah memuat naik hantaran kutipan sumbangan pembelian water jet untuk kerja pembersihan di rumah mangsa banjir.

Bagaimanapun isu tersebut telah ditularkan di media sosial apabila ada pihak mempersoalkan harga seunit water jet RM1,000 dianggap terlalu mahal dan boleh didapati dengan harga RM200 di pasaran.

Mohd Hasbie bagaimanapun mempertahankan usaha tersebut dan menjelaskan beliau sendiri yang mengarahkan Jawatankuasa Khas Bantuan Banjir untuk membeli peralatan berkualiti serta tahan lasak bersesuaian dengan kuantiti rumah yang perlu dibersihkan.

Dalam pada itu Mohd Hasbie memaklumkan, mesyuarat khas JKP Amanah Nasional turut memutuskan Task Force Banjir Pemuda yang ditubuhkan pada 19 Disember lalu dinaik taraf kepada Jawatankuasa Ops Banjir Pemuda 2021.

Menurut beliau, ia bertujuan memastikan penyelarasan semua urusan bantuan dan pemulihan pasca banjir dapat digerakkan dengan lebih tersusun, terarah dan menyeluruh.