PASIR MAS - Polis Kelantan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkait jenayah terutama pecah rumah melibatkan kawasan yang dilanda banjir di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, namun begitu pihaknya ada menerima 131 laporan yang dibuat mangsa banjir melibatkan rumah mereka dinaiki air dan kehilangan dokumen.
"Saya percaya laporan ini bertujuan memudahkan mereka membuat tuntutan insurans atau bantuan-bantuan lain (disediakan oleh kerajaan).
"Jumlah laporan itu diterima sejak 17 Disember lalu sehingga Jumaat," katanya ketika Majlis Sumbangan Kotak Rezeki Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi (G20 Goldwing Malaysia) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.
Muhamad Zaki berkata, polis juga membuka kaunter di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan mangsa buat laporan tanpa perlu ke balai berhampiran.
Mengulas mengenai sumbangan itu, beliau berkata, ia diagihkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim di negeri ini.
"Saya ucapan terima kasih G20 Goldwing Malaysia kerana sudi membantu golongan yang memerlukan di negeri ini," katanya.