MARANG - Seorang nelayan di Kampung Jambu Bongkok di sini masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan pelepah kelapa sebagai penghadang dalam melindungi rumahnya daripada tiupan angin kencang.
Salleh Daud, 61, berkata, kaedah itu telah lama digunakan oleh generasi zaman dahulu setiap kali tiba musim tengkujuh kerana kebanyakan struktur rumah ketika itu diperbuat daripada kayu.
"Sekarang struktur rumah semakin kukuh diperbuat daripada simen dan bata, jadi tidak terancam dengan tiupan angin kencang. Namun, saya masih mengekalkan kaedah ini kerana sangat murah, mesra alam sekitar dan berkesan.
"Biasanya, saya akan mula mengumpulkan pelepah kelapa ini seawal Oktober dari tepi pantai berdekatan sahaja...ikat kuat dan dirikan ia sebagai pagar di bahagian depan rumah yang terdedah dengan angin pantai. Alhamdulillah, dapat mengurangkan impak angin kencang," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Kebiasaannya, pelepah kelapa itu akan dibuang sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir dan ditukar setiap tahun bagi memastikan ‘penghadang angin’ ini dapat berfungsi pada kadar optimum.
Bapa kepada lapan anak itu berkata beliau turut membantu memasang pelepah kelapa itu di rumah ibu mentuanya, Dijah Deraman, 80, yang terletak berhampiran.
"Sebenarnya banyak lagi kaedah orang zaman dahulu yang masih boleh digunakan kerana ia terbukti sangat berkesan, cuma perlukan sedikit usaha serta kerajinan seperti mengumpulkan sendiri pelepah kelapa dan kayu untuk mengukuhkannya.
"Secara tidak langsung, persekitaran pantai pun jadi bersih kerana pelepah kelapa yang jatuh itu kita bawa ke rumah untuk jadikan penghadang angin," katanya. - Bernama