BUKIT MERTAJAM - Seorang ibu menafikan menjadi mangsa dera anaknya apabila dia ditemui dalam keadaan tidak bermaya, luka di bahagian kepala serta seluruh badan selain dikhuatiri mengalami patah lama pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, wanita berusia 64 tahun itu diselamatkan penduduk Flat Desa Wawasan di sini selepas dia ditemui terkurung di dalam rumahnya petang semalam.
Menurutnya, dalam kejadian jam 2.45 petang itu, warga emas itu dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan sebelum polis menerima laporan doktor mengenai keadaan wanita itu yang dikhuatiri didera.
"Hasil temubual yang dilakukan, wanita itu menafikan dia dipukul anak sebaliknya dikatakan terjatuh sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.
"Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mempunyai sejarah sakit mental (kemurungan) sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini.
Nik Ros Azhan berkata, wanita berkenaan tinggal bersama dua orang anaknya serta seorang menantu dan mereka dikatakan mengalami masalah kewangan yang menyebabkan mereka hidup dalam tekanan dan serba kekurangan termasuk dari segi makanan.
"Siasatan awal mendapati anak-anak mangsa juga disyaki kurang siuman manakala menantu pula orang kurang upaya (OKU) serta mendapat bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekiranya mereka kehabisan wang, kesemua akan keluar mengemis.
"Dua orang anak dan seorang menantu yang berusia antara 26 hingga 35 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut. Kesemua yang ditahan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.