PUTRAJAYA - Semua menteri yang telah diarahkan pulang daripada bercuti di luar negara tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjalani kuarantin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarat kuarantin tersebut masih terpakai dan wajib dipatuhi walaupun semua menteri tersebut telah diarahkan pulang dengan segera.
"Buat masa ini mereka mesti menjalani kuarantin. Walaupun mereka dipanggil pulang, tetapi sangat penting untuk kita berwaspada dan berhati-hati dalam perkara ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan menteri yang sedang bercuti membatalkan cuti masing-masing dan menumpukan kepada bencana banjir yang sedang melanda negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: Menteri kabinet diarah batal cuti, pulang ke Malaysia segera
Dalam pada itu, Khairy menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat mengenai dakwaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang melanggar perintah kuarantin dan melawat mangsa banjir di kawasan Parlimennya.
"Kami sedang mencari apakah sebenarnya yang berlaku dalam kes ini. Beliau meminta pengecualian kuarantin untuk perjalanan antara 8 hingga 12 Disember untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki.
"Pengecualian itu diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kita ada untuk perjalanan rasmi," katanya.
Menurutnya, pengecualian awal Hasanuddin selepas pulang ke Malaysia pada 22 Disember lalu ditolak dan diminta melakukan kuarantin di rumah dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan sudah menghantar e-mel kepadanya bagi memaklumkan permohonan kuarantin di rumah sudah diluluskan pada 20 Disember lalu.
"KKM akan terus menyiasat perkara tersebut dan melihat perjalanan beliau. Jika benar beliau melanggar kuarantin, denda RM1,000 akan dikenakan," katanya.