SHAH ALAM -"Kami sangat teruja dengan kedatangan Yang di-Pertuan Agong dan memberi keceriaan kepada kami di pusat ini," kata seorang mangsa banjir, M Thilagavathy, 28, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19, di sini pada Sabtu.
Wanita itu menzahirkan rasa teruja kerana tidak menyangka dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa sedih apabila tidak dapat menyambut Krismas seperti sebelum ini.
"Persiapan untuk Krismas pun kami sudah sediakan namun semua hancur kerana banjir. Tapi kita pun tidak sangka juga walaupun tidak dapat sambut (Krismas), Yang di-Pertuan Agong pula datang ke sini ucap 'Merry Christmas' pada kami.
"Yang di-Pertuan Agong pesan ‘jangan risau semua akan jadi baik lepas ini. Kalau hendak apa-apa bagitahu dekat orang di sini (pengurusan PPS)'," kata Thilagavathy kepada pemberita di PPS tersebut pada Sabtu.
Seman Idon, 41, berkata, sudah semestinya dia berasa sedih tidak dapat menyambut Krismas seperti biasa dan berkumpul bersama sanak saudara.
Tambah pilu, Seman yang berasal dari Betong, Sarawak itu berkata, rancangan asalnya untuk menyambut Krismas bersama keluarga di Sarawak terpaksa ditangguhkan susulan banjir teruk di kawasan Taman Sri Muda.
"Tiket saya sudah beli untuk kami sekeluarga. Tunggu masa sahaja untuk pulang, sekali jadi banjir ini. Memang sedih sangat. Barang-barang persediaan semua rosak.
"Bila Yang di-Pertuan Agong datang sini jumpa sendiri depan mata, rasa seperti ada sambutan di sini dan Seri Paduka Baginda juga ada bagi sumbangan dan wang pada anak-anak. Anak-anak suka," katanya.
Seri Paduka Baginda berkenan berangkat dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS tersebut sekitar jam 9.50 pagi yang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira 40 minit menyantuni mangsa terjejas dengan banjir di Taman Sri Muda dan turut mengucapkan"Merry Christmas" (Selamat Hari Krismas) kepada mangsa yang menyambut perayaan itu sebelum berangkat ke lokasi seterusnya di Masjid Taman Sri Muda, di sini. - Bernama