YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) setakat ini telah mengenal pasti 10 keluarga bekas atlet untuk dibantu susulan terjejas banjir baru-baru ini.
Exco Kehormatnya, Datuk Malek Noor berkata, sumbangan RM500 sekeluarga akan diberi kepada ahli yang terkesan dengan bencana itu di seluruh negara.
"Pemberian YAKEB tersebut mengikut kadar yang kami mampu kerana banyak lagi atlet memerlukan bantuan. Alhamdulillah, kami harap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Sri Tanjung, Semenyih dekat sini pada Sabtu.
Bekas atlet bina badan itu yang mewakili Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sebelum itu mengunjungi kediaman dan menyampaikan bantuan kepada bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim.
Malek Noor berkata, pihaknya akan meneruskan misi bantuan di Telok Gong, Klang, manakala Noorul Ariffin pula fokus memberi bantuan di Johor.
"Ada yang kami terima (laporan) dari Pulau Pinang dan Tambun (Perak). Jadi nak ke sana itu agak jauh, kami kena bahagikan masa, tapi jangan bimbang kalau ada laporan kami akan tolong," katanya.
Antara bekas atlet yang sudah dikenal pasti oleh YAKEB ialah atlet olahraga, P Sidamparam dan peninju Vejayan Subramaniam di Shah Alam serta pemain ragbi, Rosli Omar di Hulu Langat.
Sementara itu, Zakri turut berkongsi rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan serta tindakan pantas diambil YAKEB dalam usaha membantu bekas atlet negara ketika waktu getir ini.
"Ketika rumah saya kena banjir, YAKEB adalah pihak pertama yang saya hubungi untuk buat aduan dan orang pertama yang telefon saya waktu subuh hari Ahad itu adalah Datuk Noorul.
"Semasa itu emosi kurang stabil, tetapi selepas beliau tanya keadaan saya sekeluarga di samping memberi nasihat, rasa tenang sedikit," katanya sambil menambah rumahnya dimasuki air hingga paras betis. - Bernama