Pejabat Labuan Shipyard musnah dalam kebakaran

Iklan
Bangunan pejabat Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd (LSE) berusia empat dekad, musnah dalam kebakaran pada hari Krismas. - Foto Bernama

LABUAN - Bangunan pejabat Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd (LSE) berusia empat dekad, musnah dalam kebakaran pada hari Krismas.

Bangunan kayu yang dibina pada 1974 itu menempatkan beberapa jabatan termasuk jabatan kewangan dan pentadbiran serta pejabat ketua pegawai eksekutif (CEO).

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail memberitahu Bernama, kebakaran dilaporkan bermula kira-kira jam 7 malam, dengan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Kami menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 7.33 malam dan anggota kami dengan tiga jentera dari ibu pejabat kami di Balai Bomba Rancha-Rancha bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pejabat itu sudah terbakar.

Iklan

"Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira satu jam 15 minit,” katanya.

Ismaidi berkata, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Iklan

"Kebakaran itu merosakkan hampir 100 peratus struktur kayu, di mana fail, komputer dan peralatan pejabat musnah,” katanya.

Menurut seorang pekerja yang melihat asap keluar dari pejabat, kejadian itu tidak dijangka kerana tiada kakitangan bekerja di pejabat sebelum kejadian.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan kerana kebakaran bermula dari dalam pejabat, dan kebakaran memusnahkan jabatan kewangan dan pejabat CEO," katanya. - Bernama