BENCANA banjir yang melanda negara ketika ini ternyata banyak memberikan pengajaran bermakna buat seluruh rakyat.
Di sebalik banyak cerita yang kurang enak didengar seperti kelembapan dan kepincangan pihak berwajib dalam menyelaras usaha bantuan, banyak kisah-kisah 'wira tidak didendang' yang menyebakkan dada.
Kisah-kisah inspirasi mereka ini menunjukkan bahawa walaupun di sebalik perbezaan latar belakang, agama dan budaya, rakyat di negara ini bersatu hati dalam menjaga sesama sendiri tatkala berdepan musibah, malah melangkaui perbezaan fahaman politik.
Kisah Azwan Omar, 29, dari Melaka ke Shah Alam dengan hanya berbekalkan wang RM50 dan menggunakan kereta Perodua Viva untuk membawa sebuah bot bagi membantu mangsa banjir misalnya, membuatkan ramai terkesima.
Ramai yang tidak percaya betapa nekadnya pemuda itu untuk membantu mangsa banjir, walaupun baru pertama kali terlibat sebagai sukarelawan.
Lebih mengharukan, dia yang turut digelar 'Abang Viva' meneruskan misinya hingga ke Pahang, agar lebih ramai mangsa banjir yang dapat dibantu.
Kita juga masih tidak dapat melupakan bagaimana banjir besar yang melanda pada 2014 memberikan banyak kemusnahan, khususnya di Kelantan.
Pada masa itu, sebilangan rakyat di seluruh negara turun memberikan bantuan kepada mangsa.
Apa yang mengharukan, penduduk Kuala Krai yang sebelum ini menjadi mangsa banjir, kembali membalas budi baik mereka dengan membawa bantuan ke Selangor.
Sejumlah 50 pacuan empat roda dan lima buah lori disediakan untuk membawa bantuan ke Selangor sebagai membalas budi mereka yang banyak membantu masyarakat di daerah itu dalam kejadian banjir pada 2014.
Tidak terkecuali, Sinar Harian turut melancarkan Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters di seluruh negara bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir besar.
Sinar Harian sebagai penggerak inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Rasuah Busters yang membantu menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyertai misi ini.
Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters turut membuka klinik dan kaunter bergerak bagi memeriksa kesihatan dan memudahkan urusan mangsa banjir mencetak dokumen yang diperlukan.
Kesemua kisah-kisah ini menunjukkan walaupun di sebalik keperitan melalui musibah yang melanda, namun ada hikmah tersembunyi yang ALLAH SWT tunjukkan.