PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengesahkan bintang Perancis, Paul Pogba berkemungkinan tidak akan beraksi berdepan Newcastle United di St. James Park pada Selasa.
Menurut Rangnick, Pogba masih dalam proses untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis, November lalu.
"Kami sudah pun memulakan latihan Khamis minggu lalu melibatkan lapan pemain dan tiga penjaga gol sebelum padang latihan ditutup selama empat hari.
"Minggu ini kami memulakan latihan pada Selasa lalu dan ia berterusan sehingga semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam).
”Latihan kali ini menghimpunkan 25 pemain tetapi Pogba tidak ikut serta kerana dia masih belum pulih daripada kecederaan berkenaan,” katanya.
Ketiadaan Pogba dalam kesebelasan utama The Red Devils bagaimanapun dilihat tidak akan memberikan kesan besar kepada pasukan berikutan dua tonggak utama Raphael Varane dan Endinsoh Cavani dilaporkan cergas dan bersedia untuk beraksi.
Kedua-dua pemain berkenaan yang tidak beraksi ketika United terikat 2-2 dengan Atlanta dalam saingan pada 3 November termasuk ketika menewaskan Norwich City bagi saingan Liga Perdana Inggeris pada 12 Disember lalu.
Begitu juga dengan Anthony Martial dan Aaron Wan-Bissaka, yang tidak beraksi berdepan Norwich kerana cedera kini telah kembali cergas dan bersedia untuk diturunkan.
Mengulas lanjut Rangnick berkata, kesemua pemain berkenaan dilihat berada dalam kondisi yang baik selain bersemangat untuk beraksi.
"Saya gembira menyaksikan situasi ini. Mereka ternyata telah melakukan ‘kerja rumah’ yang diberikan, mematuhi jadual latihan di rumah dengan begitu berdisiplin.
"Daripada situ, saya dapat melihat rata-rata pemain kini sudah tidak sabar untuk beraksi dan ini membuatkan saya pula yang sukar membuat keputusan bagi memilih kesebelasan utama pasukan,” katanya.