PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti keperluan bagi mana-mana sekolah menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, berdasarkan kapasiti premis yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Beliau berkata, buat masa ini, KPM sedang menjalankan penilaian ke atas kerosakan yang berlaku pada infrastruktur sekolah termasuk peralatan komputer, perabot dan buku sekolah.
"Secara umumnya, kita tidak akan tangguh sesi persekolahan dan KPM sedang usahakan untuk menyelesaikan isu sekolah terjejas banjir, sebelum tempoh pembukaan sekolah.
"Namun, sekiranya ada kes tertentu yang menunjukkan bahawa sekolah itu belum bersedia (untuk pembukaan), kita akan ambil tindakan sewajarnya. Perkara ini akan diberi perhatian secara kes demi kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di sini pada Ahad.
Dalam pada itu beliau turut memohon agar pihak sekolah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, memperincikan keperluan persekolahan seperti perabot dan buku teks bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan sewajarnya.
Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari ini bagi Kumpulan A dan 3 Januari ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.
Beliau berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Januari dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Januari.
Kata Mohd Radzi lagi, KPM masih lagi melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan maklumat berkaitan akan diumumkan kelak.
"Masih ada penggiliran dan dalam masa terdekat kita akan nyatakan secara terperinci kumpulan mana yang digilirkan dan yang tidak terlibat. Kita ingin memastikan pembukaan ini berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya. - Bernama