HULU LANGAT - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"Kerja pelaksanaan pascabanjir ini memerlukan koordinasi yang sempurna, kerana saya tidak mahu proses termasuk bantuan lambat diberikan kepada mangsa terlibat.
"Kita juga perlu bersedia jika banjir gelombang kedua akan berlaku selepas ini, jadi saya setuju untuk tubuhkan pasukan petugas khas ini,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di sini pada Ahad.
Ismail Sabri berkata, pasukan petugas khas yang akan dianggotai oleh agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya seawal Isnin.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan oleh pasukan petugas khas itu ialah koordinasi pelaksanaan proses pembersihan rumah dan kediaman, serta mekanisme pemberian wang bantuan ihsan banjir agar cepat sampai kepada penerima terjejas, yang menjadi keutamaan pada ketika ini.
"Saya juga menyeru kepada agensi dan jabatan berkaitan yang menguruskan bantuan tunai perlu mempermudahkan proses pemberian bantuan dan menghapuskan kerenah birokrasi, mereka dah susah, jangan susahkan mereka lagi,” katanya.
Katanya lagi, pasukan petugas khas tersebut juga akan mencari penyelesaian pengurusan sisa pepejal hasil daripada kemusnahan akibat banjir.
Katanya, setakat ini kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan insinerator bergerak, yang akan melupuskan sisa pepejal secara ‘insitu’ tanpa asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.
Selain itu katanya, kerajaan juga sedang mengumpul data jumlah kerugian yang ditanggung akibat banjir besar yang melanda negeri Selangor Sabtu lalu.
"Kita masih lagi dalam proses pembersihan, kita tengah kaji lagi berapa jumlah. Data sedang dikumpul, memang ada kesan dari segi ekonomi, tetapi kita tak tahu sejauh mana dan kita akan tunggu laporan daripada kementerian berkaitan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan keselamatan serta agensi yang masih bertungkus lumus membantu proses pascabanjir di seluruh negara.
"Tidak ketinggalan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir terlibat.
"Setakat ini keutamaan kita ialah mempercepatkan bantuan bersihkan rumah supaya mereka boleh pulang ke rumah masing-masing. Jika kita lakukan sama-sama proses ini, penduduk boleh pulang ke rumah lebih cepat,” katanya. - Bernama