KOTA BHARU - Dua daerah di Kelantan iaitu Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan rendah di sekitarnya diramalkan banjir pada Khamis dan Jumaat ini.
Ramalan awal itu dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam satu hebahan di media sosial pada Sabtu.
PRABN memaklumkan, banjir diramalkan berlaku di dua kawasan itu berdasarkan Sungai Galas di Limau Kasturi dan Sungai Galas di Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai dijangka melepasi paras bahaya pada dua hari tersebut.
Susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada Sabtu, model ramalan menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan pada 30 hingga 31 Disember ini.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan bersiap sedia dan berwaspada selain diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat jam 11.41 pagi Ahad menunjukkan penurunan kepada 633 berbanding 862 mangsa pada Sabtu.
Maklumat berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan mangsa-mangsa di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas.
Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pada jam 10 pagi Ahad, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras waspada dengan mencecah 7.45 meter (m).
Selainnya, sungai-sungai lain meliputi Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan, Tangga Krai; Sungai Galas, Dabong; Sungai Kelantan, Jambatan Guillemard; Sungai Kelantan, Tambatan Diraja; Sungai Golok, Jenob; Sungai Golok, Kuala Jambu; dan Sungai Semerak, Pasir Puteh, berada pada paras normal.