KUANTAN - Operasi kutipan dan pemindahan sisa banjir di beberapa daerah di negeri ini sedang giat dijalankan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, syarikat konsesi telah diarahkan supaya menambah lori dan jentera dalam usaha mempercepatkan proses memungut barangan yang rosak di kawasan terjejas.
Menurutnya, setakat ini pihaknya belum dapat membuat anggaran jumlah sisa banjir yang terhasil akibat banjir yang berlaku.
"Saya hanya boleh katanya jumlahnya begitu banyak.
"Sekarang kita sedang mengumpul data berkaitan perkara ini dari semua daerah yang terlibat banjir," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, Sharudin berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka barangan yang rosak akibat banjir sebaliknya dikumpul di kawasan rumah masing-masing bagi memudahkan syarikat konsesi pembersihan menjalankan aktiviti kutipan.
"Pembakaran sisa banjir secara terbuka boleh menyebabkan kebakaran tidak terkawal dan pencemaran udara," katanya.