Banjir: Pasukan Polis Marin bantu bersihkan masjid, madrasah

Iklan
PPM menjalankan kerja pembersihan masjid dan madrasah di Seksyen 24, Shah Alam, pada Sabtu yang terjejas akibat banjir.

SHAH ALAM - Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Masjid Al-Falah Seksyen 24 dan Madrasah Tahfizul Quran, Seksyen 24 di sini pada Sabtu.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, program jiwa murni itu dijalankan bermula jam 9 pagi membabitkan keanggotaan dari PPM Bukit Aman dan PPM Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan itu bagi membantu meringankan beban pihak masjid dan madrasah yang terjejas akibat banjir besar.

"Kita juga menerima bantuan sumber tenaga daripada pihak masjid dan madrasah untuk kerja-kerja pembersihan kediaman.

Iklan

"Program ini menzahirkan rasa simpati warga PPM terhadap mangsa banjir," katanya kepada Sinar Harian selepas program kerja pembersihan itu di sini.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, seramai 7,047 anggota polis digerakkan di lapan buah negeri bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Iklan

Jumlah tersebut membabitkan 568 pegawai dan 6,479 anggota yang dikhaskan untuk mencari dan menyelamat mangsa banjir.