SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memohon kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam membantu operasi pembersihan pasca banjir di Selangor untuk membuang sampah di stesen pemindahan sementara (TS) sampah pukal yang disediakan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri membuka 11 TS bagi mempercepatkan urusan pembersihan sampah pasca banjir.
Menurut beliau, semua TS tersebut sedang digunakan secara optimum dengan lebih 50 mesin jentolak dan jengkaut beroperasi di stesen tersebut.
"Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan kontraktor persendirian yang membantu dalam melaksanakan pembersihan di Selangor.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri dimaklumkan terdapat sampah telah dibuang di kawasan awam seperti tepi jalan raya atau kawasan yang bukan di zon di bawah TS," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sze Han berkata, situasi tersebut menyukarkan serta melambatkan kerja-kerja pembersihan di lokasi terjejas.
"Ini kerana pihak KDEB Waste Management atau pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa membersihkan kawasan tersebut dan seterusnya akan melewatkan operasi pembersihan sampah pasca banjir," katanya.
Justeru katanya, kerajaan negeri berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk membuang sampah pasca banjir di TS berdekatan atau menghantar sampah terus ke tapak pelupusan sampah Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan Jeram.
"Tiada bayaran yuran tipping (tipping fees) dikenakan di kedua-dua tapak pelupusan sampah ini untuk sampah pukal yang disebabkan bencana banjir.
"Diharap dengan kerjasama semua pihak, operasi pembersihan sampah pasca banjir akan dapat selesai dengan kadar segera," katanya.
Senarai TS disediakan dalam Bandaraya Shah Alam adalah Seksyen 21, Seksyen 34, Seksyen 25 dan Kampong Lombong, manakala Majlis Perbandaran Kajang (Sungai Lui, Batu 14 Hulu Langat, Nanding), Majlis Perbandaran Sepang (Taman Emas Dengkil, Taman Lestari Mewah, Business Park di Bandar Baru Salak Tinggi) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (Bukit Lanchong).