JELEBU - Gabungan enam syarikat telco menyampaikan sumbangan bantuan banjir berjumlah RM25 juta di beberapa negeri yang terlibat dengan bencana itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya menyumbang RM2.1 juta kepada mangsa banjir.
Annuar yang tiba di Kampung Chennah kira-kira 12.30 tengah hari Ahad bersama pasukan Sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia telah mengagihkan bantuan banjir kepada penduduk terjejas.
Selaku Ahli Parlimen Ketereh yang mempunyai pengalaman menguruskan masalah banjir di kawasannya di Kelantan, beliau amat memahami kesukaran dihadapi 600 mangsa banjir di kampung itu yang perlu meneruskan kehidupan dalam keadaan serba tidak mencukupi berikutan banjir teruk melanda.
Susulan itu, KKMM melalui pihak sukarelawan telah menyerahkan bantuan kotak makanan dan tilam kepada penduduk serta memudahkan mendapatkan barangan keperluan untuk penduduk terjejas.
"KKMM telah mengatur gerak pegawai melalui Jabatan Penerangan di setiap daerah bagi memantau mangsa banjir yang tercicir daripada menerima bantuan," katanya kepada pemberita di balai raya Kampung Chennah di sini.
Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut hadir dalam program tersebut Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Mokhtar Hussain serta ketua jabatan agensi lain di bawah KKMM.
Annuar berkata, sumbangan tenaga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam membantu kerajaan menjalankan aktiviti pengagihan sumbangan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.
"Tidak perlu ada sebarang kerenah birokrasi. Bantuan ini bukan boleh buat secara kontrak dan tender...kita hendak buat cara cepat," katanya.
Dalam pada itu, Annuar juga menyeru orang ramai tidak menularkan berita tidak benar yang boleh menjejaskan keharmonian terutamanya dalam berdepan situasi bencana banjir ini.
"Kurangkan membuat viral menceritakan tentang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kelam kabut atau mengambil kesempatan mempolitikkan keadaan. Saya rasa itu perkara tidak baik, lebih baik kita tumpu dengan memberi sumbangan dan bagaimana mempercepatkan proses pemulihan keluarga dan rumah yang terjejas," katanya.
Sementara itu, bercakap kepada Bernama, penerima bantuan Wong Kiu Wo, 79, seorang daripada mangsa banjir menghadapi kerugian ribuan ringgit akibat bencana yang memusnahkan barangan rumah, melahirkan rasa syukur terhadap bantuan diterima.
"Banjir yang berlaku paling teruk saya hadapi, barangan rumah saya musnah, air naik begitu mendadak hingga paras dada, kurang tiga jam," katanya.
Bagi Hamziah Hamdan, 36, keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang akibat banjir tersebut dan berdepan masalah kewangan kerana dia dan suami perlu menyara lima lagi anaknya yang masih kecil.
Katanya ketika berlaku banjir, dia dan anak-anak sedang menjalani kuarantin di rumah dan tidak dapat mengalihkan kereta milik keluarganya dan kini rosak akibat ditenggelami air.
Tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati penduduk bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing dan terdapat banyak kereta milik penduduk dipenuhi lumpur akibat banjir yang dialami pada Sabtu lepas. - Bernama