BANDAR Maharani BC (BMBC) mencipta kejutan apabila mudah mengenepikan cabaran pilihan utama kejohanan Butterworth BC (BWBC) 9-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada Ahad, sekali gus merangkul gelaran juara Top Glove Purple League Pro-Am 2021 (TGPLPA 2021).
Biarpun tidak dilabel sebagai pasukan pilihan, BMBC bermula garang menerusi pasangan beregu campuran Zachary Sia-Yap Yee yang menundukkan lawan mereka Tan Yi Han- Goh Jin Wei, 3-1 (10-11, 11-7, 11-7, 11-7).
BMBC terus mempamerkan aksi cemerlang pada pertarungan kedua acara perseorangan lelaki, apabila pemainnya, Tai Chuan Zhe dengan mudah menewaskan seterunya Samuel Lee 3-0 (11-7, 11-10, 11-7).
Kemenangan BMBC dimuktamadkan oleh bintang muda perseorangan wanita mereka, Dania Sofea Zaidi yang mengejutkan lawannya Isabel Liau, 3-1 (11-8, 11-6, 11-10) sekali gus memastikan Bandar Maharani BC membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.
Mengulas kemenangan bermakna BMBC, pengurus pasukan, Eric Chan berkata, dia amat berbangga dengan apa yang ditampilkan pasukannya meskipun berdepan kekangan untuk mengumpul semua pemain sebelum kejohanan berlangsung
"Saya amat berbangga dengan pasukan. Persiapan kami amat mencabar kerana tidak dapat mengumpulkan kesemua pemain.
"Tetapi kami dapat mengatasi segala rintangan untuk beraksi sebaik mungkin untuk muncul juara.
"Saya juga gembira melihat Dania Sofea yang banyak menyumbang mata buat pasukan biarpun dia merupakan pemain paling muda di dalam pasukan. Beliau sangat berbakat dan tenang di atas gelanggang," katanya.
Dalam pada itu, Sofea yang berusia 15 tahun sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila merangkul takhta AEON Credit Purple League Junior pada Mac, gembira dapat menyumbang mata kemenangan buat BMBC.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada pasukan kerana memberi kepercayaan kepada dirinya untuk beraksi.
"Kemenangan pada petang ini menyuntik semangat saya untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan prestasi. Saya juga bercita-cita untuk mewakili negara satu hari nanti,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong, dia melihat ramai pemain muda berbakat berjaya menunjukkan prestasi yang baik pada kejohanan tersebut.
"Saya mengucapkan syabas kepada semua pemain yang telah beraksi di kejohanan TGPLPA.
"Pada kejohanan ini saya lihat ramai pemain muda serta berpotensi berjaya menunjukkan kematangan mereka ketika beraksi di dalam gelanggang.
"Saya yakin mereka akan berjaya pada masa hadapan," katanya.