PENGENDALI Indonesia, Shin Tae-Yong yakin skuad kendaliannya itu akan beraksi lebih baik pada pada final Piala Suzuki AFF 2020 dalam misi memburu kejuaraan sulung piala berkenaan.
Menurut Tae-Yong, keyakinan itu berdasarkan kepada kelebihan tempoh rehat yang dimiliki oleh skuad Garuda setelah mengharungi dua aksi separuh akhir berdepan Singapura.
"Kami mendapat rehat lebih sehari berbanding mereka setelah mengharungi aksi separuh akhir dengan Singapura.
"Kami dapat rehat selama tiga hari selepas separuh akhir, tetapi pihak lawan hanya mendapat dua hari rehat.
"Oleh itu, dengan mendapat ‘lebih’ waktu rehat ini, kami yakin untuk beraksi dengan lebih baik di final nanti,” katanya.
Untuk rekod, Indonesia mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 setelah menewaskan Singapura menerusi aggregat 5-3 hasil kemenangan 4-2 pada aksi separuh akhir kedua pada 25 Disember setelah terikat 1-1 pada aksi separuh pertama, 22 Disember lalu.
Indonesia bakal berdepan pemenang bagi satu lagi aksi separuh akhir kedua antara Thailand dan Vietnam yang berlangsung malam ini yang menyaksikan Thailand memiliki kelebihan hasil kemenangan 2-0 ke pada aksi separuh akhir pertama, 23 Disember lalu.
Aksi final pertama Piala Suzuki AFF 2020 dijadualkan berlangsung pada 29 Disember manakala aksi final kedua pada 1 Januari 2022 dan kedua-dua aksi final berkenaan bakal berlangsung di Stadium Nasional, Kallang, Singapura.
Untuk rekod, ini merupakan kali keenam Indonesia mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 (sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger) dan pencapaian terbaik skuad Garuda adalah muncul naib juara pada edisi 2000, 2002, 2004, 2010 dan 2016.