GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan dana sebanyak RM834,000 kepada 19 buah sekolah mubaligh pada tahun ini dengan harapan dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing bukan sahaja dari segi ekonomi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya komited dalam memastikan sekolah mubaligh dilengkapi dengan prasarana yang baik dan selesa dalam memastikan pelajarnya dapat menikmati suasana belajar lebih kondusif dan terjamin.
Iklan
Iklan
"Sekolah-sekolah mubaligh di Pulau Pinang adalah warisan tidak ternilai dalam sistem pendidikan kita dengan sistem nilai telah membentuk generasi lelaki dan wanita yang baik menjadi tonggak negara.
"Atas dasar itu juga, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, saya dengan ini memperuntukkan dana sebanyak RM50,000 kepada St. Xavier Institution bagi tujuan pembangunan dan kemajuan sekolah tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Dewan Karpal Singh di St Xavier Institution pada Ahad.
Kon Yeow berkata, pembinaan bangunan dua tingkat dilengkapi dengan enam bilik darjah dan sebuah dewan itu juga adalah untuk memperingati jasa dan sumbangan mendiang Datuk Seri Karpal Singh yang begitu sinonim dalam bidang perundangan dan juga politik.
Sebelum itu, majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datin Seri Gurmit Kaur yang juga isteri kepada mendiang Karpal. - Bernama