PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran agar tidak melakukan kesilapan sama apabila gagal menyiapkan pasukan kebangsaan dengan teratur dalam menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 baru-baru ini, menjelang kelayakan Piala Asia 2023 dalam tempoh kurang enam bulan.
Perkara tersebut ditegaskan bekas pengendali pasukan kebangsaan, Dollah Salleh yang melihat Harimau Malaya masih berpeluang layak untuk layak ke Piala Asia sekiranya perkara tersebut dapat diselesaikan memandangkan Malaysia masih memiliki pemain-pemain yang berbakat.
Katanya, bola sepak memerlukan persediaan yang sangat rapi dan memerlukan masa lama kerana ia merupakan sukan berkumpulan yang memerlukan pemain untuk mendapatkan rentak dan chemistry antara satu sama lain.
"Kalau dia (Tan Cheng Hoe) ada masa terhad pilih permain dan kurang dua minggu untuk persiapkan pasukan, jadi bagaimana dia nak bina satu pasukan yang mantap.
"Saya rasa kalau kita bagi jurulatih yang hebat sekalipun, ia agak mustahil untuk kita bergelar juara kalau itulah masa yang diberikan.
"Sebab sukan bola sepak ini dia berkumpulan, bukan bergantung kepada individu. Jadi mereka perlu cari persefahaman dan rentak terlebih dahulu dan bukannya bergantung kepada kemampuan seseorang individu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Sebelum ini, skuad negara yang dihujani pelbagai kritikan bermula daripada pemilihan pemain apabila beberapa pemain terbaik liga tidak disenaraikan, sehingga kekurangan tempoh persiapan berikutan saingan Piala Malaysia hanya tamat enam hari sebelum aksi pertama menentang Kemboja.
Ia sekali gus menyaksikan Malaysia gagal untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan dwi tahunan itu sejak kali terakhir melakukannya pada 2016.
Dalam pada itu, pengendali Sri Pahang itu berkata, beliau tidak melihat ia satu keperluan untuk merombak sebahagian besar skuad senior ketika ini dengan memasukkan beberapa pemain skuad Bawah 23 Tahun.
Katanya, apa yang kurang ketika ini, pasukan negara tidak dipersiapkan sepenuhnya dan jika perkara tersebut boleh diatasi, tidak mustahil untuk mereka beraksi lebih baik daripada skuad Bawah 23 Tahun negara.
"Mereka (skuad senior) ini bukan tidak hebat tapi mereka ini kurang dari persiapan sahaja.
"Jadi saya rasa kalau mereka ini dipersiapkan diberi masa sekurang-kurangnya enam bulan tak mustahil untuk mereka ini lebih hebat daripada pasukan Bawah 23 Tahun,” katanya.