ISU pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM10,000 kembali hangat diperkatakan.
Ia susulan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran berkenaan, biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.
Menurut Ismail Sabri, asas kepada keputusan itu adalah kerajaan telah memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara pada ketika ini.
Pengumuman yang dibuat kerajaan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jelas Asyraf Wajdi, Perdana Menteri seharusnya mendengar rintihan rakyat dan bukannya nasihat daripada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran KWSP.
Beliau berkata, ini kerana pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 itu sangat penting berikutan bantuan yang diberikan belum mencukupi.
Justeru, beliau menggesa supaya kerajaan mempertimbang kembali keputusan tersebut demi kesejahteraan rakyat yang sedang tertekan ketika ini.
Selain itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut dikritik hebat warganet susulan tular videonya mencuci koridor dan longkang di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ia susulan Rina dilihat sedang membersihkan koridor dan longkang di PPS yang dilihat sudah bersih menggunakan penembak air.
Selain itu, terdapat beberapa jurufoto sedang merakam gambarnya lalu didakwa warganet yang seolah-olah Rina hanya sekadar 'berlakon'.
Bagaimanapun JKM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keterlibatan Rina bukanlah sekadar membersihkan lantai di sebuah sekolah yang dijadikan PPS, malah beliau telah sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain, memandangkan sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi.
Rina antara menteri kabinet yang kerap dikritik sepanjang tempoh banjir melanda beberapa negeri sejak minggu lalu.
Antara isu panas yang membabitkan Ahli Parlimen Titiwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu adalah mengadakan majlis bantuan banjir di hotel dan memakai kasut tumit tinggi ketika turun padang melawat kawasan banjir baru-baru ini.