TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menggerakkan Pasukan Bantuan Asas Psikologi (Psychological First Aid-PFA) bagi membantu mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor pada Ahad.
Pasukan diketuai Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr Pau Kee bersama sembilan sukarelawan PFA terlatih itu menekankan aspek emosi dan psikologi mangsa bagi mencegah simptom trauma, stres dan distres yang dialami oleh mangsa terutama kanak-kanak dan remaja.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, bantuan asas psikologi itu dapat memberi harapan dan membantu mangsa yang terlibat dalam pengurusan emosi, stres atau simptom trauma yang mula mengganggu fungsi hidup.
"Kehadiran pasukan PFA bukan sahaja membantu mangsa bencana mengenal pasti keperluan diri, bahkan juga berfokus kepada perasaan, pemikiran dan pengalaman dialami yang mungkin mengganggu diri mereka.
"Keperluan mendengar dengan empati dan memberi intervensi segera dapat membantu mereka mempelajari cara mengatasi dengan berkesan bagi mengelak kesan psikologi yang berpanjangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Projek itu turut melibatkan kerjasama Perkama International dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang cakna dengan keperluan psikologi mangsa pasca banjir dengan tumpuan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil di Batu 14, Hulu Langat.
Usaha tersebut bagaimanapun akan dipergiatkan lagi di kawasan yang terkesan seperti di Kuala Selangor, Taman Sri Muda Shah Alam dan Mentakab Pahang.
Dr Pau Kee yang juga Ketua Pasukan PFA UPSI berkata, dalam situasi bencana besar seperti itu, mangsa kebiasaannya mengalami simptom awal termasuk rasa tidak selamat, takut yang terlampau, buntu, keliru, sedih, bimbang, tidak dapat tidur, mimpi buruk dan kesukaran mengingat sesuatu.
Justeru katanya, jika tiada langkah awal diambil, dibimbangi gejala tekanan trauma berlarutan berlaku yang boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan pascatrauma (Post-Traumatic Stress Disorder [PTSD]).
"Trauma adalah respon mangsa terhadap situasi yang berbahaya, mengancam keselamatan diri dan terlampau stres sehingga membawa kepada gangguan emosi.
"Reaksi ini juga berbeza pada setiap orang bergantung kepada tahap daya tahan mangsa tersebut," katanya.
Selain PFA, UPSI turut menggerakkan Pasukan ResQ Team UPSI yang memberi fokus terhadap misi menyelamat mangsa, mengumpul sumbangan dan kerja-kerja pembersihan bagi membantu mangsa bencana banjir di seluruh negara.