BAITULMAQDIS - Wabak selesema burung telah membunuh lebih 2,000 burung jenjang liar di utara Israel iaitu satu jumlah yang sangat tinggi untuk selesema bermusim, kata pihak berkuasa sebuah taman pada Ahad.
Pakar untuk Pihak Berkuasa Taman dan Semula Jadi Israel, Ohad Hatsofe memberitahu AFP, sebanyak 10,000 ekor burung lagi dipercayai dijangkiti wabak tersebut.
Iklan
Iklan
Seorang saintis kanan yang berkhidmat dengan pihak berkuasa, Uri Naveh pula berkata, virus itu menyerang Israel setiap tahun tetapi wabak pada tahun ini jauh lebih besar dan menyifatkan jumlah burung itu sebagai 'luar biasa'.
Pada setiap tahun, kira-kira 100,000 ekor burung tersebut sampai ke Israel sejak Oktober, kebanyakan haiwan itu berhenti di Lembah Hula sebelum menuju ke Afrika.
Lebih 40,000 burung tersebut dianggarkan masih berada di kawasan itu.
Dalam pada itu, selesema burung yang disebabkan oleh avian influenza A atau H5N1 telah dikesan pada ayam-ayam di utara Israel, kata Kementerian Pertanian Israel.
Justeru, pihak kementerian telah menggantung penjualan telur dari ladang yang terjejas. - Agensi