Tiada pilih kasih salur bantuan mangsa banjir

Iklan
Mohd Zulkurnain (kiri) bertemu petugas dan sukarelawan di PPS SMK USJ 23 pada Ahad.

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama agensi berkaitan serta sukarelawan berusaha membantu semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tanpa diskriminasi.

Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pengagihan barangan sumbangan dilakukan mengikut prosedur secara telus tanpa pilih kasih.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, mungkin ada kekurangan ketika menguruskan mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23 bermula 21 Disember terutama membabitkan pembersihan namun kelemahan itu dapat diatasi dengan baik berikutan bantuan pelbagai pihak.

"Secara umumnya pengurusan bencana peringkat daerah diuruskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dibantu oleh MBSJ, manakala PPS diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas isu tular di media sosial berkaitan bantuan bencana di PPS berkenaan Jumaat lalu.

Seorang individu menerusi Twitter meluahkan rasa kurang senang dengan sikap pemimpin yang dikatakan mengambil kredit terhadap hasil kerja yang dilakukan oleh sukarelawan di PPS tersebut.

Iklan

Mohd Zulkurnain berkata, beliau berterima kasih kepada sukarelawan yang tidak mengenal erti penat membantu mangsa banjir di PPS itu.

"Bagaimanapun, banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Petaling secara serentak pada 18 Disember lalu menyebabkan pegawai dan kakitangan JKM tidak dapat menguruskan secara menyeluruh PPS kerana kekurangan petugas susulan terlalu banyak PPS dibuka.

"Justeru, MBSJ mengambil inisiatif menyalurkan bantuan terutama bertindak sebagai ‘pemudah cara’ kepada agensi yang berkaitan.

"Semua pihak melibatkan pengurusan sekolah, MBSJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Sabit Merah (PBSM) termasuk sukarelawan daripada pelbagai latar belakang berganding bahu membantu dan menguruskan mangsa banjir secara bersama di PPS berkenaan," jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, MBSJ turut membantu mengurus PPS di lokasi lain di beberapa dewan serbaguna MBSJ, sekolah-sekolah, masjid, surau dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di bawah pentadbiran MBSJ.

"Pengorbanan tanpa mengira penat lelah, masa, tenaga, wang ringgit amatlah dihargai dan kepada ALLAH SWT kita pohon rahmat yang berterusan," katanya.