GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan membayar balik deposit bekalan air kepada majoriti pengguna air di Pulau Pinang melalui pemindahan dana elektronik (EFT) bermula 1 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, cek bayaran balik akan dikeluarkan mengikut kes antaranya warga emas tanpa akaun bank didaftarkan atas nama mereka.
Menurutnya, pembayaran balik deposit bekalan air adalah untuk pemotongan perkhidmatan (atas permintaan pelanggan) dan perubahan dalam pendaftaran pengguna air (berkaitan dengan transaksi jual beli hartanah).
"Prosedur operasi standard (SOP) PBAPP dalam membayar bayaran balik deposit bekalan air dengan mengeluarkan cek yang dihantar melalui pos kepada pengguna air ini dilaksanakan sejak 1999. Mulai 1 Januari 2022, PBAPP akan membuat bayaran balik dengan mendepositkan secara dalam talian terus ke akaun bank pengguna air.
"Prosedur EFT baharu ini dilaksanakan untuk manfaat pengguna air di Pulau Pinang dengan tiga pertimbangan utama iaitu keselamatan, ketetapan masa dan kemudahan pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jaseni berkata, dengan pelaksanaan EFT, ia akan mengurangkan pergerakan fizikal sekali gus mengurangkan risiko untuk pengguna dalam kedua-dua senario pandemik dan pasca pandemik ini.
"Setiap EFT akan direkodkan dengan sewajarnya dalam akaun e-perbankan PBAPP serta penyata perbankan atau buku bank pengguna. Selain itu, dengan prosedur kelulusan tersebut, EFT juga boleh dijalankan segera.
"Pengguna boleh menjimatkan masa dengan tidak perlu menunggu cek bayaran balik melalui pos. Dalam pada itu, pengguna tidak perlu lagi mengunjungi cawangan perbankan untuk memasukkan cek bagi bayaran balik deposit bekalan air.
"Melalui EFT ini juga, bayaran didepositkan terus ke dalam akaun bank mereka. Pengguna hanya perlu mengemukakan salinan kad pengenalan dan salinan penyata bank atau muka depan buku bank di pusat khidmat pelanggan PBAPP untuk pembayaran," ujarnya.